Tuesday 14 June 2011

CERPEN HARI GURU - BHGN 4

Kejayaan mereka menjadi bualan penduduk kampung. Hujung minggu ini ketua kampung akan mengadakan kenduri doa selamat sebelum keberangkatan mereka menyambung pengajian ke universiti. Mior dan Opie menerima tawaran belajar di Universiti Auckland manakala Suhaila di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Sementara itu Jijan menyambung pelajarannya di Jerman dalam bidang kejuruteraan.

Masa terus berlalu dan tanpa dia sedari sudah tiga tahun teman-temannya menjejakkan kaki ke menara gading. Dia masih lagi di kampung membantu ayahnya mengusahakan projek ikan arowana yang mendapat permintaan tinggi di luar negara. Bukan dia tidak mahu menyambung pelajaran cuma dia tidak lagi bernafsu untuk menelaah buku. Jiwanya seakan-akan hilang. Cita-citanya untuk bergelar seorang ahli perniagaan kian berkubur.

Ketika dia sedang duduk menyandar di perdu sebatang pokok tidak jauh dari kolam ikannya, dia disapa oleh Pak Sudir. Beliau merupakan orang kaya di kampung itu bahkan dengan kekayaan yang dimilikinya sudah banyak membantu penduduk kampung yang dalam kesusahan. Pak Sudir duduk di sebelah Naim.

“Eh, Pak Sudir bila sampai saya tak perasaan pun,” ujar Naim sambil bersalaman dengan Pak Sudir.
“Macam mana kau nak perasaan kalau asyik termenung depan kolam ni. Bukan sehari dua aku perhatikan kau malah sejak tiga tahun yang lalu. Nampaknya tidak ada perubahan langsung,” jawab Pak Sudir.
“Maksud Pak Sudir?” Naim tidak faham akan kata-kata yang tersirat dari Pak Sudir.
“Pak Sudir rasa Naim faham kata-kata Pak Sudir tapi sengaja buat-buat tak faham kan. Berapa lama lagi kau akan duduk menjadi penjaga setia kolam ikan ni,”
“Saya bekerja membantu ayah di sini. Itu lebih baik daripada saya membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah,” balasnya.
Pak Sudir mengeluh panjang. ‘Memang dia harus disedarkan dengan segera sebelum terlewat’ bisik hati Pak Sudir. Dia juga pernah menjadi muda suatu ketika dahulu. Pada waktu inilah darah mudanya sedang bergejolak kencang. Mujurlah dia bangkit dari kewalahan untuk berjaya seperti hari ini.

“Kenapa kau tak sambung belajar, Naim?
“Saya tak berminat hendak sambung belajar lagi,”
“Kau tak minat atau kau kecewa dengan keputusan SPM yang kau dapat,” tegas Pak Sudir. Terkejut Naim mendengar ketegasan Pak Sudir secara tiba-tiba.
“Kau jangan ingat aku tak tahu hal di kampung ini walaupun aku selalu di Kuala Lumpur. Setiap keputusan anak-anak kampung ini yang mengambil peperiksaan SPM dan STPM semuanya aku tahu. Sebab itu aku terkejut bila tahu kau tak nak sambung belajar padahal kau seorang pelajar yang rajin. Kawan-kawan kau pun rajin. Kamu semua menjadi bualan penduduk kampung disebabkan semangat setiakawan kamu yang sangat erat.”






BERSAMBUNG....

No comments: