Sunday 12 June 2011

CERPEN HARI GURU - BHGN 2

Berkubang di sawah padi mencari ikan puyu, menjerat burung di hutan, berendam di air terjun yang dingin dan bermain konda-kondi merupakan aktiviti harian mereka. Jikalau musim hujan mereka akan berkumpul di rumahnya untuk bermain dam haji. Sungguh seronok saat itu.

Pada musim cuti sekolah mereka berlima akan mengambil upah mengait buah kelapa sawit di ladang Pak Cik Sathya, menjahit jala Pak Seman yang koyak ataupun mengutip buah koko di kebun Ah Toi untuk mencari wang saku. Maklumlah mereka bukannya datang daripada keluarga yang senang; setidak-tidaknya dapat juga digunakan untuk membeli peralatan sekolah. Selebihnya ditabung dalam tabung buluh.

“Nanti dapat upah kutip koko aku fikir hendak beli buku rujukan Fizik yang Cikgu Ros minta tu,” kata Ojan.
“Apa kata kalau kita kongsi duit untuk beli buku tu. Lagipun kita boleh jimat sedikit dan gunakan untuk beli buku-buku yang lain pula,” cadang Suhaila.
“Bagus idea tu, aku setuju!” sahut yang lain-lain.

Pada masa yang sama mereka juga rajin mengulangkaji pelajaran bersama-sama di waktu petang bahkan adakalanya membawa ke malam hari saat menghadapi peperiksaan semakin dekat. Keakraban mereka juga tidak asing lagi dalam kalangan penduduk kampung dan rakan-rakan di sekolah. Kalau Suhaila tiada di dalam kelas carilah dia di perpustakaan bersama Opie, Jijan, Mior dan Naim.

Begitu jua jika hendak mencari Opie di kantin lihat sahaja kelibat Jijan, Mior, Naim dan Suhaila pasti dia juga berada di sana. Persahabatan mereka seperti isi dan kuku yang sangat erat cantumannya. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir. Kini mereka berdebar-debar menantikan keputusan yang bakal mereka peroleh. Dewan sekolah sudah mula sesak. Ada yang sempat berbual-bual kosong sebelum memasuki dewan.






BERSAMBUNG...

No comments: