Monday 21 March 2011

BENGKEL PENULISAN 2011



SEKITAR BENGKEL ASAS PENULISAN NOVEL
GRUP BUKU KARANGKRAF

 

Sabtu, Shah Alam – Grup Buku Karangkraf meneruskan tradisi menganjurkan pelbagai kursus penulisan. Buku Prima Sdn. Bhd. telah menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Novel pada 19 Februari 2011 bertempat di Akademi Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. Antara objektif bengkel ini ialah menambahkan pengetahuan dan memberi panduan asas kepada pada peserta tentang teknik-teknik penulisan novel selain melatih mereka supaya menulis dengan teratur dan berdisiplin. Melalui bengkel ini juga, kebolehan peserta dalam aktiviti penulisan dapat diasah. Sambutan sangat menggalakkan di mana hampir 38 peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur semuda 14 tahun hingga 61 tahun.

Slot-slot dalam Bengkel Asas Penulisan Novel telah dikupas dan disampaikan dengan berkesan oleh Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Puan Sri Diah Shaharuddin. Beliau juga merupakan novelis Suite 1908, Kuala Lumpur di Mana Suamiku, Dendam Masrini dan beberapa novel yang lain. 
 
Turut terlibat di dalam bengkel ini ialah Encik Mohd Ali bin Mohd Noor. Beliau merupakan Editor Kanan Buku Prima Sdn. Bhd. dan telah berjaya mencungkil bakat penulis-penulis baru di Malaysia seperti Siti Rosmizah (Andai Itu Takdirnya), Zulaila Zakaria (Khilaf Kasih), Nurul Syahida (Soalnya Hati & Plain Jane), Siti Nur Dhuha (Akhir Sebuah Cinta & Andai Itu Takdirnya), Zyra Safiya (Dendam Pewaris & Rasuk) dan ramai lagi.


Rata-rata peserta yang hadir begitu tekun mengikuti pengisian setiap slot dan ramai yang mengajukan soalan sepanjang sesi soal jawab dibuka. Insya-Allah Grup Buku Karangkraf akan menganjurkan lagi bengkel penulisan seumpama ini di masa akan datang.






No comments: