Tuesday 22 March 2011

CERPEN : PETIKAN SETENGAH ABAD

Di sini aku muat turun sebahagian cerpen Setengah Abad untuk tatapan dan komen pengunjung blog ini....selamat membaca dan semoga berhibur....

“Kalau kamu dah setuju beritahu kepada umi dan walid. Kami berdua tak kisah jikalau dia yang menjadi pilihan kamu.” Lembut suara umi berkata kepada Aisha, puteri ketiganya yang hanya menundukkan wajah sejak tadi.

“Entahlah umi, Aisha sendiri pun tak tahu hendak terima ke tidak. Aisha tak dapat beritahu umi dan walid keputusannya sebab hati Aisha masih berbelah bagi untuk menerima ataupun menolaknya.

“Solat istikharah dah buat macam yang umi suruh tu,” tanya Pn.Norsiah kepada anaknya.

“Dah umi. Aisha buat setiap malam sejak kedatangan Pn.Sofea ke rumah kita dua minggu lalu,” balasnya ringkas.

“Habis tu masakan kamu tidak dapat apa-apa petunjuk langsung,”

“Aisha dapat rasakan petunjuk yang diberi tetapi entahlah, Aisha takutlah umi.” Matanya mula berkaca-kaca.

“Apa yang hendak kamu takutkan sedangkan kamu dah dapat petunjuk daripada Allah s.w.t. Maknanya persoalan kamu dah mendapat jawapan dari-Nya. Beritahu umi apa yang kamu dapat melalui petunjuk itu mana tahu umi boleh bagi pendapat,” kata umi sambil menggenggam erat tangan Aisha.

“Mula-mula Aisha buat solat istikharah macam tak dapat apa-apa petunjuk pun tetapi pada malam ketujuh Aisha dapat petunjuk melalui mimpi. Dalam mimpi itu ada sejalur cahaya yang sangat terang hingga silau mata Aisha. Kemudian muncul sepasang suami isteri di sebalik cahaya itu. Masing-masing memakai pakaian ihram dan bertelekung; mereka tersenyum memandang kepada Aisha.

“Makin lama mereka makin dekat bersama haruman yang sangat wangi. Kemudian si isteri memegang tangan Aisha dan yang pelik tu umi, Aisha hanya ikut sahaja tanpa bersuara. Kami berdua berjalan menuju kepada si suami yang setia menanti kehadiran kami,” Aisha bercerita dengan panjang lebar.

“Lepas tu apa yang terjadi Aisha,” soal umi tidak sabar ingin tahu.

“Sabarlah umi, Aisha tak habis cerita lagi. Lepas tu, si isteri menyuruh si suami menyambut tangan Aisha maka kami bertiga pun berjalan pulang ke arah cahaya itu sambil berpegangan tangan ketiga-tiganya. Raut wajah kami semuanya bersih dan tersenyum. Dalam perjalanan ada pula beberapa orang anak muda lelaki dan perempuan yang berdiri di kiri dan di kanan laluan kami tu. Mimpi itu berakhir di situ, umi.” Aisha menyudahkan ceritanya bersama satu keluhan panjang.

Suasana sunyi seketika apabila kedua-dua beranak itu sibuk melayan perasaan memikirkan tafsir di sebalik mimpi Aisha.

“Tapi kan umi, Aisha tetap rasa takut bila memikirkan apa kata jiran tetangga, kawan-kawan, cikgu-cikgu kat sekolah nanti sebaik sahaja dengar berita ni. Pasti pelbagai tohmahan yang akan dilemparkan kepada Aisha. Aisha mata duitanlah, gatal nak kahwinlah, nak hidup senanglah sebab itu terima sahaja lamaran daripada Pn.Sofea,” luah Aisha yang memikirkan tanggapan masyarakat jika dia meneruskan sahaja niat baik Pn.Sofea itu.

“Dengar sini Aisha, anak umi yang baik hati. Buat apa kita nak risaukan apa kata orang lain terhadap Aisha kerana perbuatan itu hanya mengundang dosa dalam setiap perkataan, perlakuan dan niat tidak baik mereka. Allah s.w.t itu Maha Pengasih dan Penyayang jadi kita harus bermohon pada-Nya dalam apa jua perkara.

“Jika dah dapat jawapannya umi rasa baik Aisha teruskan sahaja. Umi dan walid serta keluarga kita akan menyokong Aisha sampai bila-bila, okey.” Panjang lebar nasihat yang diberikan umi kepada Aisha yang sesekali menganggukkan kepala mendengar kata-kata uminya.

Sesudah itu Aisha meminta diri untuk ke kamar. Walid belum pulang dari surau sementara kakaknya yang sulung baharu sahaja pulang ke rumahnya petang tadi. Di dalam kamar dia menerawang lagi sambil matanya mendongak ke siling rumah yang putih bersih itu.

Kenapa aku yang dia pilih? Kenapa tidak Kak Hanizah yang satu jabatan dengannya? Mereka kan selalu berjumpa lainlah aku yang duduk terperosok kat tingkat 11 ni. Kak Hanizah tu lagi comel orangnya berbanding aku ni apalah yang ada. Serba-serbi terasa ada kekurangannya. Aku sendiri pun pening kepala memikirkan perkara ni. Memanglah tak dinafikan aku suka tengok muka dia yang sejuk mata memandang. Rasa tak jemu kalau hari-hari aku kena pandang muka dia tapi…

Aisha terlena bersama persoalan yang tidak terungkai jawapannya.
Kalau nak tahu kesudahannua kenalah baca dalam Nur ya....

No comments: