Memakai Cincin Mengikut Sunnah
Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah Baginda sallallahu
alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara pemakaian cincin
menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di
dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh
al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain.
Jawapan daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami
oleh para pembaca.
Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :
1. Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?
2. Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?
3. Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?
4. Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?
5. Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin ,
kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda
sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau
tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang
kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi
permasalahan ini.
Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut
turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian
terhadap perkara ini.
JAWAPAN
BERAT CINCIN
1. Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin
yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu
Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat
satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang
merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan
pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu
Mithqal.
2. Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang
memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut
pengiraan moden ialah 3.125 gram × 2 = 6.25 gram.
3. Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin
bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat
tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.
4. Para ulama Hanabilah pula berpandangan tiada masalah untuk memakai
cincin yang beratnya melebihi satu mithqal. Tetapi dengan syarat tidak
terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika
melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.
LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN
EMAS
1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada
wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.
2. Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah
di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa
dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki
atau perempuan.
PERAK
1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan
kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para
ulama .
2. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai
cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan
yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang
seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin
perak.
3. Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak
bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah
Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram
memakainya dengan tujuan berbangga diri.
4. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada
sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada
sultan dan qadhi semata-mata.
5. Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.
SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK
1. Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama
Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan
seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu
alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan
wanita.
2. Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada
kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para
ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita
memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.
3. Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam
permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai
cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak
makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak
makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi
di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai
cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.
4. Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah
mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan
diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil
cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.
Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya
HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN
1. Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.
2. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk
memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang
disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh
hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi
rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di
dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu
jari.
3. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi
lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada
adat setempat.
4. Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.
BENTUK CINCIN RASULULLAH
1. Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang
diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.
2. Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan
bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi
mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi al-Tibb karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN
1. Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada
mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua
jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan
bagi mereka.
2. Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah
dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa
disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah
kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama
Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari
kelingking kanan.
3. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam
al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin
di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari
kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah
memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada
kelingking kanan.
4. Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin
pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang
masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya
merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis
adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang
bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat
larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna
Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.
5. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai
cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa
dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala
jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin
padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu
alaihi wasallam.
KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?
1. Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan
batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda
sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut
ke telapak tangan.
Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Sumber : ahmadhasif.com
No comments:
Post a Comment