Wednesday 16 January 2013

BAHASA: TEORI HIERARKI KEPERLUAN MANUSIA DALAM NOVEL MELAYU

 Teori Hierarki Keperluan Manusia dalam Novel Remaja

Oleh Nurhamizah Hashim

Secara umumnya, novel remaja masih memainkan peranan yang sama dengan novel dewasa atau novel umum, iaitu menonjolkan kehidupan manusia yang sarat dengan keperluan dan kehendak yang pelbagai. Lazimnya, novel remaja menjalankan tugas tersebut melalui kehadiran watak remaja yang aktif meneroka kehendak dalam kehidupan mereka.

Menurut Tang Chee Yee dalam Psikologi Perkembangan, kehendak ialah rangsangan yang wujud dalam diri seseorang untuk mencapai sesuatu perkara atau tujuan dalam kehidupan. Dorongan untuk mencapai kehendak itu terjadi apabila berlakunya kekurangan dalam kehidupan, terutama elemen asas, seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.

Seperti orang dewasa, golongan remaja juga lazimnya mempunyai kehendak dan keinginan yang tersendiri. Namun begitu, sering kali kehendak dan keinginan itu dianggap tidak universal kerana kehidupan mereka masih di bawah jagaan ibu bapa. Sebaik-baiknya kehendak remaja haruslah dilihat pada peringkat yang lebih luas dan mendalam. Pada peringkat tersebut, golongan remaja sudah mula mengalami perubahan dalam perkembangan mental-emosi mereka. Keinginan untuk mencuba dan meneroka sesuatu perkara baharu semakin melonjak-lonjak. Mereka juga sering memikirkan kehendak sendiri yang ingin bebas daripada ketentuan ibu bapa atau penjaga masing-masing, seperti yang dinyatakan oleh Mohd. Salleh Lebar dalam Asas Psikologi Perkembangan.

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta Januari 2012.

No comments: