Sunday 30 January 2011

ARTIKEL AGAMA: BERKAT DALAM MAJLIS KAHWIN & HUKUM ADA AYAT QURAN PADA KAD KAHWIN

Mencari Keberkatan Dalam Majlis Perkahwinan


Sudah menjadi satu rutin bagi kita masyarakat malaysia bila hampir sahaja musim cuti persekolahan pasti berderet-deret kad undangan walimatul urus yang diterima, kadang-kadang dalam satu hari ada dua atau tiga undangan yang perlu dihadiri. 

Sememangnya sebagaimana yang kita ketahui Perkahwinan itu adalah Sunnah, Dengan adanya ikatan perkahwinan, jiwa menjadi tenang dan tenteram, mendapat keturunan yang halal lagi sistematik, sekali gus ikatan perkahwinan juga dapat mengawal diri daripada berlakunya pelbagai bentuk penzinaan, homoseksual, pelacuran dan sebagainya.

Memang terdapat banyak hikmah dalam perkahwinan antaranya adalah mampu menjaga kehormatan diri, untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia di muka bumi ini dan seterusnya meramaikan manusia dan supaya manusia itu dapat hidup berbahagia dengan saling berkasih sayang dan cinta-mencintai.


Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” – (Surah Ar-Rum:21)
Bila disebutkan tentang perkahwinan maka tak lengkap rasanya kalau tidak diikuti dengan kendurinya, tapi tahukah kita mengadakan kenduri kahwin bagi meraikan pasangan pengantin yang telah dinikahkan dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai, khususnya kepada saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai apa hukumnya? Kenduri untuk pernikahan sepasang pengantin ini merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Hal ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas .a katanya :
“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengan Zainab ibn Juhsy, baginda mengundang orang ramai, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” – (Riwayat al-Bukhari)
Dari Anas bin Malik ra menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya ;

Kesan apakah ini? 

Abdul Rahman menjawab;

Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.

Sabda Rasulullah;

Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing. 

Majlis perkahwinan yang dikehendaki oleh syarak sangat mudah dan tidak menyusahkan. Oleh itu perkahwinan yang baik ialah yang ringan perbelanjaannya, yang tidak memberatkan, tidak bermewah-mewah dan tidak melebihi batas-batas yang diperlukan, serta tidak membawa kepada pembaziran kerana pembaziran itu bertentangan dengan hukum syarak. 



Sebenarnya mengadakan majlis perkahwinan sehingga terpaksa menanggung beban hutang tidaklah digalakkan oleh agama, cukupla dengan sekadar yang termampu sahaja. Kerana Antara hikmah Islam menggalakkan supaya diadakan kenduri kahwin adalah untuk :

• Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana dapat mendirikan rumah tangga.

• Melahirkan rasa kegembiraan atas ikatan perkahwinan.

• Mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pasangan telah menjadi suami isteri yang sah.

• Memberi peluang kepada para tetamu bersuai kenal di samping merapatkan hubungan silaturrahim.

Maka disini jelas kepada kita digalakkan agar mengadakan perkahwinan secara sederhana yangmana ianya tidak membawa kepada pembaziran. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Masyarakat kita pada hari ini kebanyakannya mengadakan kenduri kahwin sampai terpaksa berhutang. Itulah amalan masyarakat kita hari ini yang lebih mementingkan adat dari sunnah Nabi sendiri.


Sebaiknya laksanakanlah walimah atau kenduri kahwin sekadar yang termampu sahaja. Apa yang penting ia dilakukan dengan niat yang ikhlas selain untuk memanjatkan kesyukuran tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Mudah-mudahan majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan ALLAH SWT. Kenduri yang berkat itu amat penting, sama pentingnya akad nikah mengesahkan ikatan suami isteri.



Apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis besar-besaran tapi jauh daripada keberkatan Allah sehingga pengantin terpaksa berhutang dan meminjam. Hal ini memberi implikasi dalam melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan membina keluarga bahagia. Justeru, laksanakanlah walimah berlandaskan sunnah, semoga perkahwinan diberkati ALLAH SWT. InsyaAllah.

Sumber: http://www.ukhwah.com

******************************************************************************
Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai



Perbuatan buang merata-rata jejas kesucian: JAKIM

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad itu dibuang merata-rata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.
Beliau berkata, tindakan itu juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat al-Quran.

“Istilah suci dalam Islam seperti Bismillah, Assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.

Namun, Othman berkata pihak terbabit meletakkan ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin dipercayai berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain, bagaimanapun ia patut dielakkan.

“Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya saja,” jelasnya.

Beliau juga berkata pihak yang menerima kad jemput kahwin yang tertulis ayat al-Quran sepatutnya lebih prihatin dan menjaga kesucian ayat itu dengan tidak membuang bahan yang mengandunginya di merata-rata tempat.


Katanya, mengikut Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan JAKIM, perbuatan membuang bahan yang mengandungi ayat al-Quran boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyentuh kesucian Islam.

Beliau berkata, pelupusan bahan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sepatutnya dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, seorang pembuat kad perkahwinan, Mohd Natasha Md Nasir berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan pelanggan yang ingin mencetak istilah suci termasuk Bismillah supaya tidak berbuat demikian.


“Kalau ada pelanggan yang hendak cetak Assalamualaikum dalam tulisan jawi pun kita tak galakkan, sebaliknya kita cadang supaya ditulis dalam tulisan rumi,” katanya.

Seorang lagi pembuat, Nor Azli Masrudin berkata, pihaknya sediakan format standard, tapi kalau pelanggan nak juga cetak kalimah-kalimah suci kita kena ikutlah,” katanya.

Sumber: www.bharian.com.my

###########################################

TULIS AYAT QURAN PADA KAD JEMPUTAN KAWIN


Soal :

Apakah hukumnya setengah tuan rumah kenduri mengedarkan kad jemputan kawin yang di dalamnya tertulis ayat Quran?

Selalunya dicetak pada kad tersebut teks ayat Quran yang terjemahannya bermaksud :

“Dan setengah dari tanda kebesaran-Nya Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri supaya kamu duduk bersamanya dan menjadikan antara kamu kasih dan rahmat. Pada yang demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang berfikir.”

Bagaimana pula bagi pihak penerimanya adakah bolih dibuang sesuka hati selepas kenduri berlangsung?

Jawab :

Ayat yang dimaksudkan olih tuan itu ialah firman Allah Taala :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ 
فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Ayat tersebut ialah ayat yang ke 21 dari surah Ar-Rum.

Hukum mencetak atau menulis ayat Quran pada sesuatu bergantung kepada keadaan. Jika ditulis pada suatu yang bolih jadi terkena kotoran atau bolih jadi dibuang merata-rata adalah dilarang seperti ditulis pada dinding banggunan atau pada pagar atau pada kad jemputan dan yang seumpamanya.

Bolih jadi ayat Quran tersebut terpelihara kehormatannya dan bolih jadi tidak terpelihara kehormatannya.

Tersebut pada kitab Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah :

ذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَبَعْضُ الْحَنَفِيَّةِ إِلَى كَرَاهَةِ نَقْشِ الْحِيطَانِ بِالْقُرْآنِ مَخَافَةَ السُّقُوطِ تَحْتَ 

أَقْدَامِ النَّاسِ، وَيَرَى الْمَالِكِيَّةُ حُرْمَةَ نَقْشِ الْقُرْآنِ وَاسْمِ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْحِيطَانِ لِتَأْدِيَتِهِ 

إِلَى الاِمْتِهَانِ.

Artinya : “Berpendapat ulama-ulama mazhab Syafie dan sebahagian ulama mazhab Hanafi kepada dimakruhkan menulis ayat Quran pada dinding kerana dikhuatiri jatuh ke bawah kaki manusia. Dan ulama mazhab Maliki berpendapat haram tulis nama Allah dan ayat Quran pada dinding kerana bolih membawanya kepada kehinaan.”(Juzu 16 m.s. 234)

Hukum Membuang Kad Tertulis Ayat Quran

Kad yang bertulis atau bercetak dengan ayat-ayat suci Al-Quran tidak bolih di buang dalam tong sampah atau longkang atau ke tempat yang hina jika dengan sengaja.

Jika tidak mahu menyimpannya maka hendaklah dipadamkan segala tulisan ayat Quran pada kad tersebut atau dibakar sehingga hilang ayatnya sebelum dibuang.

Berkata Imam Nawawi :

وأجمعوا على أن من استخف بالقرآن أو بشيء منه أو بالمصحف أو ألقاه في قاذورة 

أو كذب بشيء مما جاء به من حكم أو خبر ، أو نفى ما أثبته أو أثبت ما نفاه أو شك 

في شيء من ذلك وهو عالم به كفر

Artinya : “”Dan telah ijmak olih para ulama atas bahawa siapa yang meringan-ringankan dengan Al-Quran atau dengan suatu dari Quran atau dengan mushaf atau mencampaknya pada tempat kotor atau mendustakan dengan suatu daripada Quran samada hukum atau ceritanya atau menafikan perkara yang sabit di dalam Quran atau menyabitkan perkara yang dinafikan olih Quran atau ragu ia pada suatu dari yang demikian sedangkan dia sedar maka jadi kafir ia.” (Kitab Al-Majmu’)

Sebaiknya kita jangan menulis teks ayat Quran berbahasa arab pada kad-kad jemputan kawin kerana memuliakannya.

Tidak semua orang yang memahami hukum berkenaan dengannya mungkin akan dibuang merata-rata.

Memadai ditulis akan terjemahannya sahaja.

Wallahua’lam.

Sumber: 
Jamu Ratu Malaya Substokis Johor Bahru - oleh Ustaz Azhar Idrus


No comments: