Jangan Tidur Lepas Subuh
Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik
diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat
pemalas kita ini, bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang
lebih besar.
Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja
baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah
sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah
lama melekat dan merosakkan hati kita.
TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH
Cuba cek diri kita, mana
1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu
subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh
Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz
yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,
“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”
Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila
ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun
subuh. Kenapa ya sahabat?
Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa
pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula
seperti bebelan mak kita.
“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis
tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”
JIKA MAHU BERMUHASABAH
Rasulullah SAW tidak tidur selepas
menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi,
“Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para
fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.
Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur
selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur
selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.
Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat
Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh,
kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di
sisi orang yang BERAQAL”.
Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala
kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah
setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah
tiada kesannya?
Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya
semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak
menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.
Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini? Masing-masing
menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan
rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi
sekarang.
MASA UNTUK BERUBAH
Maka untuk itu tidak ada alasan lagi
untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai
aktiviti yang bermanfaat.
Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu
keemasan di kala subuh.
Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk
belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri
rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak
bising lagi.
“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri
sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah
di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua
hanyut.”
Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur
selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih
waktu untuk belajar atau menghafal.”
Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu
muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua.
Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur,
maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.
Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia
bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak
menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat
merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah
memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut
perintah-Nya.
Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu
Subuh, maka Baginda bersabda :
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Sumber: MyIbrah.com (petikan daripada http://www.iluvislam.com)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kalau tak berani jangan tengok yer!!!
No comments:
Post a Comment