Thursday 12 May 2011

ARTIKEL AGAMA: CARA MENDIDIK ANAK V2

Kaedah Mendidik Anak V2

Artikel ini sambungan dari Kaedah Mendidik Anak V1 (versi 1 tak  jumpa) . Terdapat 3 lagi kaedah yang Pakar Cinta sangat teruja untuk kongsikan. Jelas dengan mengetahui kesemua kaedah ini, ibu bapa akan bertambah mesra dengan anak-anak dan secara tidak langsung mendidik mereka menjadi seperti yang ibu bapa harapkan.

Jom kongsikan semua kaedah ini dengan ibu bapa lain dengan share di laman Facebook!
5. Kaedah Nasihat dan Teguran
Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.
Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.

6. Kaedah Bermain dan Bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Kaedah Latihan Yang Berterusan
Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-
a. Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tugas yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
b. Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Diharap petua ini akan dapat membantu dan memberi tunjuk arah kepada pasangan Ibu & Ayah, Papa & Mama, Abi & Umi, Daddy & Mummy, Bapa & Mak yang cemerlang supaya anak-anak kita akan dapat mewarisi sifat yang terpuji dan diredhai Allah untuk menjadi pelapis peminpin generasi akan datang kearah masyarakat dan ummah yang berjaya di dunia dan di akhirat, insya’Allah.

‘ Ibubapa Cemerlang, Anak Terbilang ‘

Sumber: www.PakarCinta.com

No comments: