Rasulullah
SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan
Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka
(pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat
Muslim).
Hadis
ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam
seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal
selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.
Hikmah Dari Segi Kesihatan
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri.
Puasa
selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem
pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama
sebulan.
Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia
mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada
hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita
suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.
Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.
Oleh
kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem
pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk
kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Konsisten
Selain
dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT,
alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita
di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun
sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak
melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan
tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar
bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.
Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?
Puasa Enam dan Puasa Ganti
Persoalan
puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul
sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa
iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Syeikh
Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya
tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang
ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di
bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus
seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan
niat puasa qada terlebih dahulu.
Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.
Kebanyakan
ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan
diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat
menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada
seorang yang berniat kedua-duanya.
Di dalam kitab As-Syarqawi
‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan
bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan
atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di
bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam
sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun
tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis
Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.
Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.
Beliau
mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki
masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan,
maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama
pahala solat tahiyyatul masjid.
Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.
Namun,
kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam
bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu,
seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan
mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT.
Ini adalah
kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT,
memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi
kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan
kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.
Sumber: iluvislam.com - Sept 2010
No comments:
Post a Comment