PERTOLONGAN ALLAH
REDA
SABAR
Sabar senjata mulia hadapi
ujian
14
Jun 2010, 06:50 PM | Santapan Rohani
Oleh
Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad
Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman
umat.
IMAN terbahagi
kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi
dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua
nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan
Syakur.
Jika seseorang
itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak
memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa
kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai
melainkan dengan iman. Allah berfirman yang bermaksud:“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar
dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah
al-Nahl, ayat 96)Firman-Nya lagi yang bermaksud:“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala
mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:“Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn
Mas'ud)Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak
kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas) Perkataan sabar disebut
enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat
35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada
bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.
Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan
al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui
firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.
Kesabaran lain yang
dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi
mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang
sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas
kepada orang yang sabar.
Selain itu, orang yang
sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar
balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat
daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang
sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam
tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah,
sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah.
Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat
sabar.Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya'kub ketika baginda berkata:“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan
kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86).
Adapun yang menafikan sifat
sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah
seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan
lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan
sebaiknya daripada Allah.
Mangsa juga perlu
mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian
itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini.
Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada
luasnya laut.
Tanpa senjata sabar dalam
perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana
jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang
jatuh.
- Penulis ialah pensyarah Jabatan Al-Quran
dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment