Sempena
hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang
diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep ‘hari raya’
yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW bersabda hari raya yang
sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:
1.
Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia
tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.
2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan
3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka
4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka
5. Hari ia menatap wajah Allah Ta’ala
Menurut
Nabi Muhammad SAW Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5
ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat
meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi
Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam
syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Menjauhi Dosa
Sekiranya
kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari
raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan
diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta
mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang
harus dirayakan.
Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh
keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam ‘hari raya’ yang
dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW. Saat sakratul-maut adalah masa yang
paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat
bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan
oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000
pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan
beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi
si-mati.
Sakaratul Maut
Menurut Imam
Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakaratul maut, kedua
kesusahan melihat kedatangan malaikat maut dengan mukanya yang amat
bengis dan ketiga, kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka
(jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang
amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah
dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita.
Hanya
orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas
dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat
menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam
yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia
merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang
kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.
Jambatan Menuju Syurga/Neraka
Hari
Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas
merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang
direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang
amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut
barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus
ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat
menyeberang dengan kelajuan yang pantas.
Malangnya mereka yang
menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api
neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di
bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang
berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita
berhari raya.
Syurga
Hari kita masuk syurga
adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari
neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan
kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan.
Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan
kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati
pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala
kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya
bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan orang
beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan
yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan
syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.
Memandangkan
kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa
cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya
ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya
belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang
menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan
pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.
Aidilfitri
hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan
membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa
nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.
Mudah-mudahan
hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja,
sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya
melepasi sakaratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni
syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.
Sumber: iluvislam.com - Sept 2010
No comments:
Post a Comment