Doa Minta Jodoh dan Keturunan yang Baik
18/09/2011
Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan hidupku seorang diri, dan Engkaulah pewaris yang paling baik.” (AlQuran: Al-Anbiya’: 89).
Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan hidupku seorang diri, dan Engkaulah pewaris yang paling baik.” (AlQuran: Al-Anbiya’: 89).
Maksudnya: “Ya Tuhanku,
berilah aku dari sisi-Mu seorang anak yang baik. Sungguh Engkau Maha Pendengar
doa.” (Surah Al ‘Imran: 38).
Penjelasan:
Doa di atas baik sekali dibaca oleh
orang-orang yang belum mempunyai keturunan dan pasangan hidup. Bagus juga
dibaca oleh setiap muslim agar diberi keturunan yang soleh.
Kedua-dua ayat di atas merupakan doa Nabi
Zakaria A.S. agar diberi keturunan sebagai penerus perjuangannya menegakkan
agama Allah dan memohon jodoh yang baik.
Kisah Nabi Zakaria boleh dilihat
dalam Al-Our’an Surah Al-Anbiya’ ayat, 89-90; Al-Imran, 38-41.
Kaedah Mendekatkan Jodoh
Jika ingin dicintai oleh manusia, pastikan ia adalah cinta yang boleh
menghampirkan diri kepada Allah. Maksud sabda Rasulullah s.a.w : “Kasihanilah apa yang ada di muka bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh
mereka yang berada dilangit”
Buka Hati dan Minda untuk
Menerima Cinta
Kita hendaklah menyedari hakikat pentingnya
ikatan perkahwinan untuk menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup pada hari
– hari mendatang. Kita tidak boleh melampaui fitrah dengan menafikan keperluan
untuk mencintai dan dicintai. Ia merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh
Rasulullah s.a.w. Baginda membina ikatan perkahwinan seterusnya menjalinkan
ikatan cinta sejati dengan semua ahli rumahnya.
Oleh sebab itu, bagi orang yang sudah
bersedia untuk berumah tangga, bukalah minda untuk menerima cinta dan rela
dirinya dicintai. Cinta
itu mudah datang kepada mereka yang bersedia untuk menerima cinta,
terutamanya orang yang mempunyai kemampuan. Perlu difahami, remaja yang masih
bersekolah seperti gadis berusia 16 tahun tidak termasuk dalam golongan yang
telah bersedia
Memberi Pandangan Makrifat
Cinta bermula daripada pandangan mata,
lalu turun ke hati. pandang sekali dengan pandangan makrifat adalah harus namun
pandangan yang berlebihan membawa dosa. Islam menganjurkan umatnya menundukkan
pandangan pada sesuatu yang diharamkan.
Perempuan tidak suka pada lelaki yang
rambang mata. Bagi mereka, lelaki sebegini gatal orangnya dan tidak akan setia.
Daripada Abu Musa, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Setiap
pandangan mata yang haram adalah penzina dan sesungguhnya apabila wanita itu
mengenakan haruman kemudian dia berlalu menghadiri majlis, maka dia adalah
penzina” (Riwayat al-Nasa’i)
Demi terpeliharanya hubungan baik antara
kedua – dua suami isteri, maka agama Islam memerintahkan untuk melihat calon
masing – masing. Dengan demikian, hal itu akan membawa keharmonian bagi kedua –
duanya.
Fokus dan Tulus kepada Bakal Pasangan
Jangan sesekali mempermainkan perasaan orang
lain dan terlalu kerap bertukar – tukar fokus memilih jodoh. Mohon bantuan
Allah supaya dipertemukan dengan seseorang yang ideal untuk dijadikan bakal pasangan.
Kemudian, fokus untuk memenangi hati orang tersebut dan bersikap tulus
terhadapnya.
Jika malu untuk menyatakan hasrat hati,
gunakan perantaraan orang tengah atau dengan cara menghantar mesej, seperti :
“Ya Allah, aku sayang kepada wanita yang bernama Asiah Yusra ini, semoga dia
juga akan sayang kepadaku. Peliharakanlah kami redha-Mu.”
Insyaallah dengan cara ini kita turut
menghantar gelombang minda kepada bakal pasangan untuk menarik sayangnya kepada
kita
Jangan Lewat Menyatakan
Hasrat di Hati
Andai kata seseorang wanita meminati lelaki,
luahkan dengan mengambil kira cara yang sopan santun dan tidak menjatuhkan
maruah diri. Contohnya, dengan perantaraan seorang kawan yang boleh
memperkenalkan diri si perempuan kepada si lelaki yang diminati. Apabila mereka
dipertemukan, lelaki akan menganggap dia yang memulakan dahulu walau hakikatnya
si gadis yang memulakannya.
Lelaki juga jangan terlalu lama berfikir jika
sudah meminati seorang perempuan. Luahkan hasrat hati dengan bijaksana agar
dapat menambat hati si gadis. Apabila lewat menyatakan hasrat, ditakuti gadis
idaman dikebas orang.
Berkomunikasi dengan Mesra dan Bersemangat
kita harus menitik beratkan agar komunikasi
berlaku dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah. Contohnya, mahram hadir
bersama atau suasana berkomunikasi itu melibatkan ramai orang.
Seseorang yang pandai berkomunikasi dengan
sesiapa sahaja dan dalam apa – apa jua situasi akan menyebabkan orang mudah
jatuh cinta terhadapnya. Seseorang itu dikatakan pandai berkomunikasi apabila
dia berkomunikasi dengan lisan, mata, hati dan gerak badan. Komunikasi juga
adalah secara sopan santun dan bersungguh – sungguh. Islam mengatur cara hidup
buat manusia yang beriman , turut mengatur tatasusila dalam berkomunikasi
Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang beriman
kepada Allah dan adanya hari kemudian, hendaklah dia berkata baik ataupun
diam”. (Riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud :
“Orang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, buruk perangai
dan berkata kotor” (Riwayat al – Bukhari)
Beri Tumpuan pada Persamaan
dan Perkara yang Disukai Pasangan
Jika kita berbual dengan pasangan, kita perlu
memastikan perbualan itu terjadi dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah.
Beri tumpuan sepenuhnya ketika berbual. Jangan lakukan kerja lain seperti
membaca buku, menghantar teks sms atau seringkali menjawab panggilan telefon
bimbit
Tunjukkan keserasian dan persamaan dengan
menumpukan pada Topik yang disukai pasangan. Insyaallah, pasti terdetik di hati
si dia bahawa kita seorang yang mempunyai persamaan dengannya, memahami
minatnya dan serasi dijadikan pasangan hidup.
Pandai dan Seronok Didampingi
Setiap orang yang ingin disayangi hendaklah
menilai diri dan membuang perangai buruk yang dibenci oleh orang lain. Ambil inisiatif
dan luangkan sedikit masa untuk mendampingi orang lain. Di samping masa,
kadangkala kita memerlukan perbelanjaan untuk mendampingi orang lain.
Disamping itu, kita hendaklah berlapang dada
didampingi orang lain. Jangan merasakan orang lain sebagai penggangu atau
pencuri masa kita yang berharga. Kita hendaklah mencari jalan merasai
keseronokan didampingi orang lain. Orang yang seronok didampingi dan pandai
mendampingi ialah insan yang disenangi orang lain. Mudahlah dirinya untuk
dicintai
Mudah Menceritakan Hal Peribadi
Tunjukkan rasa kepercayaan kepada bakal
pasangan dengan mudah bercerita tentang peribadi kerana kerana jika mudah kita
bercerita hal peribadi kepadannya, semakin mudah juga dia akan bercerita hal
peribadinya. Hal peribadi yang diceritakan perlulah munasabah dan tidak
keterlelaluan.
Namun harus diingat bahawa berbual -bual
dengan bakal pasangan tanpa tujuan dan tanpa mahram boleh menimbulkan fitnah
dan boleh menjadi racun bagi hati. Suasana yang dimaksudkan mesti berlaku dalam
suasana yan diizinkan syariat seperti ada mahram bersama, dalam suasana merisik
perbualan itu berlaku dengan melibatkan ramai orang.
Melayani Bakal Pasangan dengan Mesra
Erti melayani disini perlu difahami dengan
kaca mata agama. Melayan bakal pasangan tidak bermakna merelakan zina
mata dan hati, apatah lagi zina besar. Melayani yang dimaksudkan adalah untuk
menunjukkan penerimaan, penghargaan dan penghormatan kepada bakal pasangan
seperti sudah lama berkawan
Perlu dingat, selagi belum terjalin ikatan
yang sah disisi syariat, kita tidak dibenarkan keluar berdua – duaan,
bersentuhan, berpengangan tangan dan berbual – bual tanpa keperluan. Semua itu
merupakan racun bagi hati dan akan mengakibatkan cinta menjadi sesuatu yang
pedih, jijik dan jauh dari rahmat Allah. Maka, cinta itu akan menjadi cinta
yang berlandaskan nafsu semata – mata
Memberi Kasih Sayang untuk Menarik Kasih Sayang Orang Lain
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah
menjadikan sayang kepada Allah sebagai cinta yang paling utama. Cinta kepada
Allah adalah cinta hakiki yang tidak boleh ditandingi keagungannya oleh
sesiapapun dalam kalangan makhlukNya. Cinta akan Rasulullah pula cinta yang
akan menyusul selepas cinta Allah.
Apabila ingin dicintai oleh manusia,
pastikan ia cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud : ” Kasihanilah apa yang ada di muka bumi nescaya kamu
akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit.” (Riwayat Abu Daud)
Contohnya, seorang wanita sangat sayang
kepada haiwan, seperti kucing. Dengan izin Allah, mungkin kucing itu boleh
menjadi sebab pertemuannya dengan bakal pasangan tanpa disangka. Mungkin, merek
dipertemukan kerana masing – masing cuba menyelamatkan seekor kucing dari
dilanggar lori atau sebagainya. Yakinlah, orang yang mudah memberi sayang akan
mudah mendapat sayang walaupun sekadar memberi kasih sayang kepada binatang!
Jangan Terlalu Jual Mahal
Seseorang wanita perlu berhikmah dalam
mempamerkan dirinya sebagai mempunyai maruah dan kualiti. Dia tidak harus
terlalu menyombongkan diri dengan lelaki sehingga menolak mentah – mentah
apabila dilamar. jika dia tidak suka akan seseorang lelaki, maka berterus
teranglah secara baik atau menyuruh lelaki berkenaan memasrahkan harapan kepada
Allah s.w.t kerana apabila sudah jodoh tidak ke mana. Hakikatnya, Allah jualah
yang menentukan titik pertemuan.
Wanita tidak harus terlalu mendambakan kasih sayang daripada
seseorang lelaki lantaran hati sudah jatuh cinta. Dia perlu bertegas dan
mempunyai pendirian, agar maruahnya tidak jatuh ke tangan lelaki. Lumrahnya,
lelaki suka mengambil kesempatan terhadap wanitayang harga dirinya agak murah.
Selain itu, hilanglah kualiti wanita itu dimata lelaki apabila dia terlalu
“tergedik – gedik” minta dicintai!
Oleh : Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah
Dipetik dari : Majalah Solusi Isu 32
No comments:
Post a Comment