Di Sebalik "Takkan Perigi Cari Timba" dan "Dont Be A Man Seeker"
Dua ungkapan berbeza bahasa, namun mempunyai satu makna yang sama, menjadi
kebiasaan diungkapkan oleh para remaja terutamanya dari golongan wanita apabila
berkaitan dengan pencarian jodoh. Hampir semua golongan kaum hawa memegang kukuh
ungkapan ini, kononnya bagi menjaga air muka dan maruah mereka, ibarat
menggenggam sesuatu barang takut mudah diragut orang.
Namun begitu, sejauh mana kebenaran ungkapan ini, terutama jika dikaitkan
dengan hukum syara’ itu sendiri. Penulis terpanggil untuk bersama-sama berkongsi
satu pandangan dan cadangan pembetulan berdasarkan pembelajaran, pembacaan dan
rujukan yang telah dilalui untuk memeriahkan lagi suasana perkongsian ilmu dan
maklumat melalui laman sesawang yang mana telah menjadi satu medium paling
popular bagi mendekati para remaja.
Berbalik kepada ungkapan berbunyi
“Takkan Perigi Cari Timba”, jika difikirkan secara logik, sama ada perigi
mahupun timba, masing-masing bukanlah sesuatu yang mampu bergerak dengan sendiri
kecuali didatangkan oleh makhluk yang mempunyai kaki dan tangan untuk
menggerakkannya. Seseorang yang ingin mandi di perigi perlu membawa timba yang
bertali untuk menceduk air yang jauh di dasar perigi. Justeru, tiada istilah
perigi mencari timba atau timba mencari perigi, yang sebenarnya dengan adanya
keinginan untuk mendapatkan air, barulah timba dibawa ke perigi.
Realiti
ini menerangkan kepentingan kemahuan dan keinginan untuk menjayakan sesuatu
keadaan, bak kata pepatah “Di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan!”, bukan sekadar mencipta 1001 alasan, dan mengharapkan
penyelesaian jatuh ke ribaan.
Seterusnya, dibuktikan kesilapan terlalu berpegang kepada ungkapan tersebut
melalui satu dalil iaitu daripada Hadis Nabi SAW yang disebut dalam Sahih
Bukhari (No. Hadis 4726) yang mana tidak boleh diragui lagi kesahihan jalan
periwayatan hadis ini.
Daripada Marhum b. Abdul Aziz telah berkata: aku telah
mendengar Thabit Al-Bunaniyy telah berkata: Aku pernah berada di sisi Anas, di
sisinya (yakni Anas) seorang anak perempuan miliknya. Anas telah berkata:
Seorang perempuan telah mendatangi Rasulullah SAW menawarkan dirinya (untuk
berkahwin) kepada Rasulullah SAW dengan berkata: Ya Rasulallah, adakah kamu
tidak berminat kepadaku? Maka anak perempuan Anas telah berkata: Betapa
sedikitnya malunya (Tak Malunya Perempuan itu), Aduh, Malunya! Malunya! (Anas)
telah berkata (kepada anak perempuannya): Dia (Perempuan itu) jauh lebih baik
darimu! Dia menginginkan (mencintai) Nabi SAW, maka dia menawarkan dirinya
kepada Nabi SAW (untuk dikahwini oleh Nabi SAW).
Al-Imam Al-Bukhari meletakkan hadis
ini di dalam satu bab khas yang disebut:
بَاب عَرْضِ الْمَرْأَةِ نَفْسَهَا
عَلَى الرَّجُلِ الصَّالِحِ
“BAB SEORANG WANITA MENAWARKAN DIRINYA (UNTUK
BERKAHWIN) KEPADA LELAKI SOLEH”.
Oleh hal yang demikian, melalui dalil yang disebut dan penamaan bab ini
(sebagaimana disebut oleh Imam Al-Bukhari melalui ijtihad feqahnya), jelas
membuktikan kesilapan yang teramat besar bagi seseorang yang memegang kukuh
ungkapan “Takkan Perigi Cari Timba”.
Malah Sirah Nabawiyyah juga telah membuktikan bahawa Khadijah (Isteri yang
Paling dikasihi oleh Nabi SAW) melamar Nabi SAW sebelum Baginda diangkat menjadi
nabi lagi melalui seorang perantara. Adakah ini dikatakan Perigi Cari
Timba?
Jika ada yang memberi alasan: “Ish..itu Nabi SAW, siapalah kita
nak disamakan dengan baginda SAW?!” . Jawapannya mudah, Nabi SAW diutuskan untuk
kita sebagai umatnya menjadikan Role Model (PeribadContoh), sebagaimana
FirmanNYA:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ
اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ
وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu
suri (contoh) teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap
(rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut
Allah”.
(Surah Al-Ahzab, 21)
Hal ini jelas menolak dan membatalkan ungkapan yang sepatutnya tidak
dipegang secara kuat oleh golongan wanita, terutama pada zaman yang mana
bilangan wanita semakin ramai berbanding lelaki, mungkin dek kerana wanita
semakin berpelajaran tinggi, berpangkat tinggi sehingga menimbulkan rasa malu
dan rendah diri seseorang lelaki yang baik untuk melamar wanita tersebut.
Oleh
itu, tiada salahnya, jika seorang wanita mendapati seorang lelaki yang baik
akhlaknya bukan sekadar melalui pandangannya, bahkan orang ramai di
sekelilingnya turut mengiktiraf ke”soleh”annya, untuk melamar lelaki tersebut
bagi dirinya dengan secara batasan yang terkawal (disarankan mengikut cara yang
telah ditunjukkan kisah Khadijah melamar Nabi SAW sebagaimana telah diterangkan
di atas.
Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 26:
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ
وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ
لِلطَّيِّبَاتِ أُوْلَئِكَ مُبَرَّؤُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ
وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,
dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan
wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik
adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih
dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan
rezki yang mulia (surga)”.
Dalam ayat ini,Allah meletakkan dua cara, iaitu sama ada َالطَّيِّبَاتُ
لِلطَّيِّبِينَ wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik atau
وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ lelaki-lelaki yang baik adalah untuk
wanita-wanita yang baik.
Hikmahnya untuk kita sama-sama berfikir, tidak semestinya lelaki yang memilih
perempuan, bahkan perempuan juga dibenarkan memilih lelaki sebagai pasangan
hidupnya, yang mana diikhlaskan dan disucikan melalui istikharah, memohon
petunjuk keputusan terbaik dariNYA, bukan semata-mata dari pandangan kita yang
pasti banyak khilafnya dek kerana maksiat dan dosa
kita.
Wallahu’alam.
Dalam memilih jodoh, memang benar ia adalah
satu ketentuan, namun tawakkal sahaja tanpa usaha, ibarat menanam padi tanpa
proses penuaian, menunggu hasil datang dengan keajaiban, itu bukanlah sunnah
orang beriman!~
Usaha perlu ditingkatkan, istikharah perlu diteruskan, tawakkal perlu
digandingkan, agar lengkap satu kewajipan, diri kita sebagai orang yang
beriman!~
Biodata Penulis
Ahmad Zaki Amiruddin merupakan seorang guru Bahasa Arab di
Universiti Malaysia Kelantan . Layari hasil perkongsian di http://www.kiemiftah.com/.
No comments:
Post a Comment