Apabila Islam Hanya Tinggal Nama
ALANGKAH bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman
kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat
berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta
boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu
masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat
melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan
hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana
menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman
dengan Allah.
Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu
Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang
mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di
kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu
menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam
dengan menyebar-luaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan
mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian,
kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para
Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada
yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama
Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman,
Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama
tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para
Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan
anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna
langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak
lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari
kekurangannya.
Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup
tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian,
penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara
mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak
menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam
sebenar.
Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu,
seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima
wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia
di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud,
daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini,
keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh
Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa
yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu
persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan
sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya
sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu
kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun
sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan
membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak
di kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai
berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan
Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal,
bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman
disesuaikan dengan ketentuan nas.
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik
sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau
menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’)
Al Quran hanya tinggal
tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar
membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai
penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada
hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit dntakan dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal aqidah,
iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya,
diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah
yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum,
undang-undang dan perintah Allah yang ada di dalamnya.
Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk
musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di
dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka
lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum
dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan
Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk
diamalkan.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah
Allah
Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid
umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di
dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat
menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan
penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang
apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan
kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang
dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai
masjid yang paling cantik dan bersih.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap
tentang Islam
Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk
menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan
oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di
atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang
ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, Imam
Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang
lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain
menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari
bangsa Bani Israel.
Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim
bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia
khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura
mustajab]. Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan
bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan
negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau
negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah
bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk
meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk
mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya
tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama
kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan
beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am
berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh
Raja”.
Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan
sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa
tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang : semenanjung Sinai) selama
40 tahun.
Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah
SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat
di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu
mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap
Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi
Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan
lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am
bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan
pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup
mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah,
menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya
terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa
yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh
individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan
artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata
pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat
mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang
dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi
perkiraan hidup.
Sumber: MyIbrah.com (petikan dari: http://www.tarbawi.my)
No comments:
Post a Comment