Tarikh 14 Februari sering menjadi bualan dan
dinanti-nantikan oleh pasangan remaja yang bercinta. Tanggal tersebut seoalahnya
menjadi hari terbaik bagi mengungkapkan rasa kasih sayang antara pasangan
kekasih. Amalan ini bagaikan sudah meresap dalam masyarakat kita hari ini. Media
tempatan juga menjadikan hari Valentine sebagai satu perayaan yang perlu
disambut dan diraikan pada setiap tahun. Pelbagai rancangan dan program diadakan
bagi meyemarakkan hari Valentine ini.
Valentine dalam sejarahnya jelas berkait dengan budaya Kristian yang menyatakan Hari Valentine bermula dengan kisah kematian seorang Paderi yang digelar St. Valentine. St Valentine dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang diberi nama Raja Claudius pada 269 hingga 270 Masihi.
Kisah
pembunuhan itu menyebabkan St. Valentine diabadikan sebagai tokoh yang hebat
dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian
dalam menghadap cubaan hidupnya. 14 Februari lantas diangkat oleh masyarakat
Kristian sebagai upacara keagamaan dalam memperingati St. Valentine yang mati
dibunuh.
Terdapat
juga pendapat lain yang mengaitkannya Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom
kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia
merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.
Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama
Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang
menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda
tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara
rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan
yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.
Pada 15 Februari, mereka
meminta perlindungan dewa Lupercalia daripada gangguan serigala. Pada hari ini
mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih
dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang
tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu diadakan
perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan
memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para
wanita akan berebut-rebut menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan
ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
Pendapat
lain mengatakan Valentine ini dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam
Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan
penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan
sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari
1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu
hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang
zalim.
Pendapat keempat pula menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Ken
Swiger dalam artikelnya Should Biblical Christians Observe It? pula
menjelaskan, kata "Valentine" berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud,
"Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Maha Kuasa". Kata ini ditujukan kepada
Nimroe dan Lupercus, tuhan orang Romawi".
Tanpa
disedari, ketika kita meminta orang menjadi 'to be my Valentine', bermaksud kita
meminta orang menjadi 'Sang Maha Kuasa'. Perbuatan ini jelas membawa kepada
perbuatan syirik dengan menyamakan makhluk dengan Allah. Selain itu, ikon si
Cupid (bayi bersayap dengan panah) yang sering digunakan semasa hari Valentine
adalah putra Nimrod "the hunter" iaitu dewa matahari.
Semangat
Valentine ini jelas bertentangan dengan simbol-simbol syirik yang hanya membawa
kepada rosaknya akhlak remaja. Perbuatan meraikan hari Valentine ini sememangnya
bercanggah dengan syariat Islam kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama
Kristian yang boleh merosakkan akhlak.
"Barangsiapa
menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." Hadis Direkodkan oleh
Imam Abu Dawud.
Peniruan
budaya barat ini yang jelas terpesong daripada akidah Islam ini salah di sisi
agama Islam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah dalam Surah Al-Kafirun, ayat
1 hingga 6 yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku
tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah)
apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu
pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi
aku agamaku."
Menyedihkan
apabila terdapat segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih
dan menjual barang-barang cenderahati bagi mempengaruhi remaja memperingati hari
tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap
sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi
kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta
sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang
dicintainya. Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syarak kerana
ianya menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina.
Firman
Allah dalam Surah Al-Israa ayat 32 menjelaskan, "Dan janganlah kamu menghampiri
zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang
membawa kepada kerosakan."
Sikap
orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia yang
menyambut Hari Valentine hanya bertujuan untuk meniru budaya yang diambil dari
barat. Bagi mereka budaya barat yang yang diamalkan mencerminkan corak hidup
yang sesuai pada zaman yang serba moden ini. Maka, kita melihat generasi muda
Melayu berebut-rebut mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh,
mewarnakan rambut, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan
bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain
lagi.
Islam
sendiri memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang
sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa,
keluarga, sahabat dan sesama masyarakat boleh diterapkan setiap hari bagi
mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah.
Sumber: Portal PTS
No comments:
Post a Comment