3 Peringkat Manusia Yang Mampu Memerintah Jin
Ini
bermakna, manusia dan jin yang beribadah kepada Allah SWT, akan
mendapatkan balasan pahala daripada Allah dan yang mengerjakan
larangan-Nya juga akan mendapatkan balasan yang setimpal.
Dalam
surah ar-Rahman ada sejumlah pernyataan Allah SWT yang berulang kali
mengenai kalimah ‘kamu berdua mendustakan’ (tukazziban). Yang
dimaksudkan di sini ialah jin dan manusia.
Oleh
itu, dari manakah mereka mengetahui semua perintah itu, dan bagaimana
mereka mentaatinya? Adakah dalam kalangan jin juga mempunyai rasul?
Namun, al-Quran menyebutkan jin dan manusia diciptakan untuk beribadah
kepada Allah SWT.
Di
dalam al-Quran disebutkan setiap umat atau zaman ada seorang rasul
diutus kepada mereka untuk menyeru serta mengajak manusia pada jalan
kebenaran. Firman Allah bermaksud: “Setiap umat mempunyai rasul. Apabila
datang rasul mereka, diberikan keputusan antara mereka dengan adil dan
mereka (sedikit pun) tidak dianiaya.” (Surah Yunus, ayat 47).
Menurut
sebahagian pendapat ulama, tidak ada jin diutus menjadi nabi dan rasul.
Nabi dan rasul hanya berasal daripada golongan manusia. Setiap nabi dan
rasul itu berkewajipan menyampaikan seruannya kepada umat manusia dan
golongan jin. Justeru, ada jin beriman dan ada pula tidak beriman. Yang
beriman disebut sebagai jin Islam manakala yang ingkar atau jahat
berasal daripada golongan jin kafir.
Al-Quran
memberitahu bahawa Allah SWT menghadapkan serombongan jin kepada Nabi
Muhammad SAW untuk mendengarkan bacaan al-Quran. Mereka mendengarnya
dengan penuh tekun. Apabila pembacaan selesai, mereka kembali kepada
kaumnya untuk memberi peringatan.
Rombongan
jin ini mengatakan kepada kaumnya bahawa mereka mendengar al-Quran,
kitab yang diturunkan selepas Musa AS, yang membenarkan kitab sebelumnya
(rujuk surah al-Ahqaf, ayat 29-32).
Ibnu
Masud menyatakan, dirinya ikut menyaksikan malam turunnya ayat jin ini.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Aku didatangi pendakwah dalam
kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya, dan aku bacakan al-Quran
kepada mereka. Peristiwa itu terjadi di Masjid Jin, Makkah, dekat
kawasan makam Ma’la sekarang ini.
Berkaitan
hubungan manusia dan jin, al-Quran merekodkan kisah seorang manusia
yang pernah memerintah jin pada zaman Nabi Sulaiman AS. Pada masa itu,
sebahagian jin dengan izin Allah diperintahkan bekerja untuk Nabi
Sulaiman.
Mereka
membuat apa saja dikehendaki Nabi Sulaiman, seperti membuat gedung yang
tinggi, patung, piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang
tetap berada diatas tungku (rujuk surah Saba', ayat 12-13).
Peristiwa
Nabi Sulaiman memberikan tugas kepada kaum jin menunjukkan jin
mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang pembinaan dan
kejuruteraan.
Ibnu
Taimiyyah membahagi manusia yang mampu memerintah jin kepada tiga
peringkat. Pertama, memerintah jin sesuai dengan yang diperintahkan
Allah, yakni beribadah hanya kepada-Nya. Siapa yang melakukan ini, ia
termasuk wali Allah yang paling utama.
Kedua,
memanfaatkan jin untuk tujuan mubah (bukan yang dilarang bukan pula
yang dianjurkan agama) sambil memerintah melaksanakan kewajipan dan
menghindari larangan Allah. Orang seperti ini bagaikan raja. Kalaupun ia
termasuk wali Allah, peringkatnya di bawah peringkat pertama.
Ketiga,
menggunakan jin untuk hal dilarang Allah dan Rasul, seperti syirik
serta membunuh. Manusia yang termasuk kategori ini menurut Ibnu
Taimiyyah sebenarnya tertipu oleh tipu daya syaitan.
Syeikh
Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi, ulama al-Azhar kontemporari,
berpendapat Allah SWT dengan kudrat-Nya mampu menjadikan jenis makhluk
yang rendah memperalat dan mengatasi makhluk yang berkedudukan
tinggi.
Jin
yang baik, mungkin bersikap baik seperti manusia. Namun ada hadis
membandingkan sifat baik jin itu menyamai sikap manusia paling
jahat.
Menurut
asy-Sya’rawi, jin tidak mungkin rela diperalat oleh sesiapapun. Dengan
demikian, boleh dikatakan bahawa tidak ada jin yang ditundukkan atau
diperalat manusia, kecuali yang jahat. Ini bermakna, mereka yang
berdamping dengan jin hanya menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Lama
kelamaan, manusia yang berdamping dengan jin itu akan berada di bawah
pengaruh jin.
Sumber: Laman kongsi Dot Com (petikan daripada darulruqiyyah.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment