Monday 30 January 2012

CERPEN : HADIAH DARI RAUDHAH - BHGN 4

Doa juga tidak putus-putus dipanjatkan kepada Allah s.w.t agar segala yang dipohonkan mendapat perkenan yang dari empunya dunia ini. Doa untuk kesihatannya agar dijauhkan daripada segala penyakit yang berbahaya. Doa supaya urusan pekerjaannya berjalan lancar. Lebih utama yang dipohonkan ialah doa untuk mendapatkan jodoh yang diredhai oleh-Nya.

Doa supaya dijodohkan dengan seorang lelaki yang soleh, berilmu, beriman, beramal, penyayang, boleh menerima dirinya dan keluarga seadanya. Juga seorang lelaki yang boleh membimbing dirinya ke arah yang lebih baik. Itu doanya. Rezekinya untuk berdoa di Raudhah dimakbulkan biarpun di dalam kesesakan lautan manusia.

Petang itu tanpa diduga dia bertemu lagi dengan Ibu Ratnadesi yang pernah dibantunya tempoh hari. Mereka saling bersalaman dan pada kali ini Ibu Ratnadesi dapat berkenalan dengan ibu bapa Raihan. Mereka sempat bertanyakan khabar sebelum masing-masing sibuk membeli kurma di salah sebuah kedai.

Raihan memandang pemuda itu sepintas lalu sambil tersenyum sebelum berlalu pergi. Dia pula sedang memerhatikan Raihan keluar dari kedai. Sejak tadi lagi Ibu Ratnadesi sudah memerhatikan gelagat anak terunanya itu. Dia tersenyum melihat Raihan dan keluarganya yang semakin jauh di seberang jalan.

“Kenapa ibu tersenyum.” Dia pelik dengan gelagat ibunya.

“Tiada apa-apa. Tapi ibu lihat kamu juga tersenyum. Ada apa ya?” balas Ibu Ratnadesi kembali. Raut wajah anaknya berubah kemerah-merahan.

“Jangan dipandang anak orang lama-lama. Kalau sudah berkenan di hati tinggal bilang saja sama ibu. Ibu ngerti kok,” usik Ibu Ratnadesi lagi.

“Ibu ni suka bercanda,” ajak pemuda itu.

Sememangnya ada satu perasaan aneh yang menyelinap ditangkai hatinya ketika kali pertama mereka bertemu. Dia merasakan ada sesuatu pada gadis dari Malaysia itu yang menarik perhatiannya. Perasaan yang sudah lama hilang semenjak dia berpisah dengan pacarnya Andah setahun yang lalu.

Sememangnya jodoh itu rahsia Allah s.w.t dan apabila sudah tiba masanya akan didekatkan yang jauh, dirapatkan yang dekat dan disatukan dua hati kerana bernikah itu juga sebahagian dari ibadah. Sebelum pulang ke tanah air kedua-duanya sekali lagi terserempak di kedai menjual tasbih dan quran. Kali ini mereka sempat bertukar nombor telefon dan emel.

Facebook juga menjadi penghubung lantaran jarak yang memisahkan mereka. Siapa sangka pertemuan secara tidak sengaja yang terjadi antara mereka di Tanah Suci kini membibitkan perasaan kasih dan sayang antara dua jiwa yang berlainan adat, budaya dan negara. Genap tiga bulan usia perkenalan, Raihan dirisik.

Tiga bulan kemudian majlis akad nikahnya berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah di Kuala Lumpur. Ramai tetamu yang hadir menyaksikan pernikahan dua negara serumpun itu. Dua minggu kemudian majlis menyambut menantu diadakan di sebuah hotel terkemuka di Jakarta. Raihan dan Harlino bersyukur dengan jodoh yang telah ditentukan oleh-Nya dan akan berusaha untuk membentuk sebuah keluarga sakinah.

No comments: