Friday 27 January 2012

CERPEN : HADIAH DARI RAUDHAH - BHGN 2

Kenduri doa selamat secara kecil-kecilan diadakan tiga hari sebelum keberangkatan mereka sekeluarga. Ramai jiran tetangga yang datang mengucapkan selamat pergi dan pulang ke tanah air. Tidak kurang juga yang menitipkan salam buat Rasulullah s.a.w. bahkan ada juga yang memesan air zam-zam untuk mereka.

Tempoh perjalanan yang panjang membuatkan Raihan sedikit letih sementelahan pula dia tidak pernah berjalan jauh. Paling jauh pun hanyalah ke Indonesia tiga tahun yang lalu.

“Jauh tak hotel kita dengan Masjidil Haram tu,” tanya adiknya.

“Jauh sikit rasanya sebab kalau hotel yang dekat dengan Masjidil Haram tu mestilah pakej yang lagi mahal daripada yang kita ambil ni,” beritahu Raihan.

“Lang, aku takutlah,”

“Habis tu kau ingat aku ni tak takut ke? Tapi kita kena rajin berselawat, doa banyak-banyak semoga dipermudahkan segalanya bila sampai di sana.” Raihan sendiri sudah acapkali mendengar cerita akan ujian dan cubaan yang diterima oleh segelintir mereka yang telah menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu.

Dadanya sebak disertai seribu macam rasa yang berkocak saat kaki kanannya memijak Tanah Haram. Rasa syukur tidak putus-putus dipanjatkan kepada Ilahi. Sebenarnya sudah lama dia menyimpan hasrat untuk ke sana semenjak menonton drama bersiri Cinta Madinah yang disiarkan pada bulan Ramadhan tahun lalu. ‘Beruntungnya dapat berlakon di Mekah sambil tu boleh buat umrah sekali.’ Itulah yang sering bermain difikiran Raihan setiap kali menonton drama bersiri itu. Kini hajatnya telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Malam itu mereka sekeluarga menghabiskan masa di bilik hotel. Raihan menghabiskan masa dengan membaca Quran dan berzikir. Seboleh-bolehnya masa yang ada digunakan untuk mempertingkatkan amalannya. Emak dan abah sudah lama tidur manakala Angah dan adik keluar membeli makanan di kafeteria hotel.

Usai membaca Quran Raihan berdiri di tingkap hotel membuang pandangan jauh di hadapan. Kota suci itu terang-benderang dan sentiasa dipenuhi dengan para jemaah. ‘Sudah lewat malam begini pun masih ramai yang berada di luar. Mekah ini tak pernah sunyi. Ya, Allah kalaulah aku bertemu....ishh setiap butir kata yang keluar dari mulut kita akan jadi doa apatah lagi berada di sini.’

Raihan tidak jadi menyambung semula kata-katanya. Dia tersenyum sebelum merebahkan diri di atas tilam. Esok mereka akan memulakan rukun-rukun umrah yang telah dipelajari. Awal pagi lagi mereka sudah berada di dalam Masjidil Haram untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dan berada di sana sehingga masuk waktu solat Zohor.

Sayu hatinya tatkala mendengar suara imam yang mendayu-dayu persis yang pernah didengarinya semasa mengikuti qiamullail. Usai itu mereka ingin pulang semula ke hotel. Tiba-tiba dalam perjalanan menuju ke pintu, Raihan terlihat seorang wanita mundar-mandir di situ. Dilihat pada telekung yang membaluti tubuh wanita separuh abad itu. Langkahnya dicepatkan. Mungkin dia dapat membantu apa yang patut.

“Kenapa mak cik?” tanya Raihan sesudah memberi salam. Wanita itu segera menoleh.

No comments: