Sunday 29 January 2012

CERPEN : HADIAH DARI RAUDHAH - BHGN 3

“Sebenarnya ibu tidak tahu di mana pintu yang ibu masuk tadi. Pusing kepala ibu mencarinya,” jelas wanita itu.

“Ibu ke sini sama siapa? Nama ibu siapa?”

“Nama ibu Ratnadesi. Ibu ke mari bersama dengan anak ibu. Barangkali dia sedang menunggu ibu di luar.”

Raihan meminta Ibu Ratnadesi bertenang supaya dapat mengingati kembali saat dia tiba di masjid ini tadi. Pejam celik matanya tatkala cuba mengingatkan situasi itu. Setelah menerangkan bayangan suasana ketika memasuki masjid, Raihan berusaha membantu Ibu Ratnadesi. Akhirnya mereka berdua menemui pintu yang mula-mula dimasuki oleh Ibu Ratnadesi.

Kelihatan seorang lelaki sedang menunggu di luar. Wajahnya sedikit cemas. ‘Mungkin dia anak ibu Ratna. Pasti dia bimbang ibunya lewat keluar dari masjid barangkali’ fikir Raihan.

“Kenapa ibu lama sangat di dalam, Lino khuatirkan keadaan ibu,” kata lelaki itu seraya memeluk Ibu Ratnadesi. Sebenarnya tadi dia ingin ke tandas dan ibunya meminta dia menunggu di luar sahaja.

“Ibu udah lupa jalan keluarnya tadi. Untung anak ini mahu membantu ibu,” jelas Ibu Ratnadesi kepada anaknya sementara Raihan sekadar memerhati perlakuan dua beranak itu.

“Terima kasih mbak kerana sudi membantu ibu saya. Saya juga khuatir apabila ibu saya lewat keluar dari masjid,” ucap pemuda itu kepada Raihan sambil tersenyum.

“Perkara kecil sahaja lagipun secara kebetulan saya berada di sana. Kalau begitu saya permisi dahulu,” balas Raihan sambil bersalaman dengan Ibu Ratnadesi.

“Terima kasih nak. Nama anak ini siapa?”

“Nama saya Raihan.”

Sementara itu keluarga Raihan juga risau menantikan dia yang tidak kunjung tiba walhal mereka keluar bersama-sama sebentar tadi. Raihan menerangkan kepada keluarganya bahawa dia membantu seorang jemaah dari Indonesia. Raihan cuba mengingati wajah pemuda itu yang kelihatannya seperti pernah dilihat sebelum ini.

Berpusu-pusu umat Islam melakukan tawaf. Raihan melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan. Ada ketikanya Raihan berasa dihimpit dalam kalangan jemaah yang lebih besar dan tinggi daripadanya. Walau bagaimanapun, dia menganggap itu hanyalah dugaan kecil untuknya.

Seterusnya mereka melakukan sai yang mana mereka harus berlari-lari anak antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Para jemaah yang uzur menggunakan kerusi roda untuk menyempurnakan rukun tersebut. Hari terus berlalu seiring dengan perjalanan umat Islam di Kota Suci itu.

Tidak pernah berhenti walau sesaat. Raihan lebih senang menghabiskan masanya di masjid usai solat. Kemudian dia akan mengaji dan berzikir sehingga masuk waktu Zohor. Sesudah itu baharulah dia akan pulang ke hotel untuk makan dan berehat. Aktiviti petang juga sama hinggalah membawa ke waktu Isyak.

No comments: