Thursday 10 July 2014

ISLAMIK: DEJA VU DALAM ISLAM

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." -Imam Hassan Al Basri.

“Tidak suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan dirimu, kecuali sudah ada dalam kitab sebelum Kami jadikannya.” Al-Quran surah Al-Hadid ayat 22. 
Saya begitu berminat dengan hal yang berkaitan dengan deja vu ini. Pernah atau tidak anda mendengar perkataan deja vu sebelum ini? Deja vu adalah satu keadaan yang mana kita tiba-tiba rasa bahawa kita pernah mengalami situasi yang sedang terjadi sebelum ini. Kita akan cuba mengingat kembali bila dan di mana peristiwa terjadi namun sesuatu seolah-olah menghalang minda kita untuk cuba mengingatinya. 
Sudah berkali-kali perkara ini terjadi kepada saya dan saya juga yakin, anda yang membaca juga pasti pernah mengalaminya. Seorang sahabat pernah memberitahu saya bahawa deja vu ini mungkin lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita. Betulkah begitu? 
Saya sekadar ingin berkongsikan pelbagai jenis pendapat dan bacaan saya dalam isu deja vu ini dan kaitannya dalam Islam. Deja vu terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu ‘pernah mengalami’, ‘pernah merasakan’, dan ‘pernah mengunjungi’ sesuatu tempat itu sebelumnya. Banyak saintis Barat dan saintis Islam yang mengeluarkan pendapat masing-masing tentang deja vu. Menurut kajian juga, sebanyak 70 peratus daripada penduduk bumi pernah mengalami deja vu. Apa pun sebagai umat Islam, pokok pangkalnya kita perlulah merujuk terlebih dahulu kepada al-quran. 
Deja vu berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud harfiah (already seen), iaitu pernah melihat sebelumnya. Menurut Syeikh Hisham Kabbani, seorang sufi Islam, deja vu terjadi kerana jasad fizikal kita mempunyai hubungan yang sangat erat dengan spiritual yang sudah tertulis di luh mahfudz. 
Menurut kajian seorang doktor Mesir, Professor Ahmad Syauqi Ibrahim yang menulis buku berjudul Misteri Potensi Gaib Manusia, deja vu mempunyai kaitan dengan aktiviti manusia ketika sedang tidur. Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa tidur itu ibarat mati sekejap. Baginda Rasul sendiri menyebutkan bahawa tidur itu merupakan satu kematian kerana ketika tidur, tubuh tidak mengandungi roh. Pernahkah kita tertanya-tanya ke mana sebenarnya roh kita menghilang sewaktu kita sedang tidur? Saya sering tertanya-tanya tentang hal ini. 
Pendapat Prof. Ahmad Syauqi menyatakan bahawa ketika kita sedang tidur, roh kita keluar daripada tubuh dan menuju ke alam roh, tidak kiralah sama ada masa silam ataupun masa hadapan, tetapi masih berhubungan dengan tubuh badan kita. Saya rasa mungkin itulah sebabnya kadangkala kita pernah melihat mata orang yang sedang tidur bergerak-gerak dan ada juga yang setengah terbuka. Wallahu alam bissawab.
Prof. Ahmad Syauqi membuat teori bahawa roh mampu bergerak dengan sangat pantas, bahkan mungkin lebih pantas daripada kelajuan cahaya. Saat roh kembali ke dalam tubuh, pengalaman yang dialami oleh roh pada masa silam atau masa hadapan kita secara tidak langsung akan tersimpan ke dalam otak. Pengalaman tersebut kadang-kadang akan berulang dalam dunia nyata dan mempengaruhi minda sedar kita. 
Tidak mustahil juga deja vu terjadi kerana Allah telah menceritakan imbasan perjalanan hidup kita di alam roh ketika kita berada di dalam rahim dulu. Tetapi, apa yang kita ingati mungkin cuba sedikit sahaja daripada apa yang telah disampaikan oleh Allah kepada roh kita.  Seorang ustaz pernah menceritakan kepada saya bahawa sebelum kita hidup, roh memang sudah ada dan berkumpul di satu tempat (alam roh). Mungkin di alam roh kita pernah berkomunikasi dengan roh-roh yang lain, oleh itu wajarlah jika kita tiba-tiba rasa bahawa kita pernah berjumpa seseorang sebelum ini, tetapi tidak tahu bila dan di mana. 
Professor Muhammad Al Ghazali melalui kitabnya Jaddik Hayaatak (Perbaharuilah Hidupmu) menyatakan bahawa tidak ada apa yang baru di dalam hidup ini. Bererti deja vu yang terjadi kepada kita adalah deja vu yang realiti dan bukannya ilusi semata-mata. Jika dikaji tentang tamadun manusia, semua yang terjadi sememangnya berulang-ulang. Perdamaian, peperangan, keadilan, kezaliman, semua yang terjadi kepada kita sememangnya satu putaran. 
Saya berikan pula contoh lain tentang deja vu ‘pernah mengunjungi’. Mungkin ketika kita berumur 2 tahun, ibu bapa kita pernah membawa kita ke Zoo Taiping tetapi tidak pernah memberitahu kepada kita tentang hal tersebut dan tidak pernah langsung mengambil gambar kenangan di sana. Apabila kita sudah mendirikan rumah tangga, kita pula yang membawa anak-anak ke Zoo Taiping. Dan secara tiba-tiba kita berasa bahawa kita pernah mengunjungi tempat itu sebelum ini sehingga kita tahu secara terperinci daripada jalan masuk sehinggalah jalan keluar. Itulah deja vu yang logik dan mampu diterima akal. 
Adakah para rasul mendapat deja vu? Jawapannya tidak sama sekali. Para rasul menerima wahyu, mukjizat dan kelebihan di sisi Allah SWT. Rasul tidak mengetahui masa lalu ataupun masa hadapan melainkan apa yang telah disampaikan oleh Allah kepada mereka. Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini perkara ini. Rasul bukanlah seorang yang mistik ataupun ajaib. Mereka merupakan golongan yang telah dipilih oleh Allah untuk mendapat wahyu dan syariat dan diperintahkan untuk menyampaikannya kepada ummat. 
Apa pun penerangan yang saya sampaikan tentang deja vu ini hanyalah melalui perspektif Islam. Banyak lagi teori-teori lain yang berkaitan dengan sains dan kepercayaan mistik. Kita perlu sentiasa ingat, bahawa kita semua ini sebenarnya sedang berada dalam keadaan “tidur”. Semua yang kita alami di atas muka bumi ini hanyalah mimpi dan bukannya nyata. Kita perlulah sentiasa beringat bahawa dunia hanyalah mimpi. Akhirat adalah realiti yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Ketika kita mengalami deja vu, mungkin itulah hikmah yang Allah cuba sampaikan supaya kita lebih berhati-hati dalam segala perbuatan kita dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfudz)" Al-Quran surah Al-An’am ayat 59.
Banyak lagi misteri yang tidak mampu terungkap di dunia ini, hanya Allah yang mengetahuinya. Tugas kita, adalah menjalankan kehidupan sebagai khalifah yang menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Allahu akbar.


Sumber:

No comments: