Soal Jawab Tentang Couple
KAMI HANYA BERBUAL-BUAL, BERBINCANG, BERTANYA KHABAR,MINUM-MINUM DI KAFE. ADAKAH ITU MENGHAMPIRI ZINA?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.
KAMI DAPAT MENGAWAL PERASAAN DAN KAMI TIDAK BERNIAT KE ARAH ITU.
Hari ini ya.Esok mungkin kamu
kecundang.Iblis akan memerangkap kamu.Iblis amat berpengalaman dan
tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam
dan Hawa. Iblis amat licik.
Ingat,pesanan Rasulullah :
Janganlah engkau bersendirian denga
seorang wanita kecuali yang ketiganya,syaitan (Tabrani) .Kita lemah
menghadapi tipu daya Iblis.
TIDAK SEMESTINYA SEMUA ORANG BERCINTA MENJURUS KEPADA PENZINAAN. ADA YANG BERCINTA DALAM TELEFON DAN HANTAR SMS SAHAJA. TIDAK PERNAH BERSUA MUKA PUN!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang
dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya
tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora,lambat laun
desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret
kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu
sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa
kepada perzinaan akhirnya?
TAKKAN NAK BERBUAL-BUAL PUN TAK BOLEH? ITUPUN ZINA KE?
Zina ada bermacam-macam jenis dan
peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu
berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan
perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi
dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah :
Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh.
Kedua
kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga
berzina dan zinanya adalah ciuman (muslim dan Abu Daud). Sebenarnya
jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri
kita melalui mana-mana jalan perzinaan.
DUDUK BERDISKUSI PELAJARAN TAK BOLEH KE? BINCANG PELAJARAN SAHAJA!
*(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba- hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.
SUNGGUH! BINCANG PELAJARAN SAHAJA. NI STUDY GROUP.
*(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group…? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana- manapun berdua. Kalau ye pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni…betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu…banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!
TIDAKLAH. SUNGGUH BERBINCANG PELAJARAN.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak
berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat,
kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan
fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.
KAMI BERDUA SAMA-SAMA BELAJAR, STUDY GROUP, SALING MEMBERI SEMANGAT DAN MOTIVASI.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh
dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang
boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat,
banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis.
Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.
TAKKANLAH TAK ADA LANGSUNG RUANG YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM UNTUK BERCINTA? ADAKAH ISLAM MEMBUNUH TERUS NALURI CINTA?
Naluri adalah sebahagian daripada
kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau
dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak
wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang
membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh
naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami.
Jangan
nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah
dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah
fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah.
Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah
jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar
tanpa naluri atau nafsu.
TENTU ADA CINTA SECARA ISLAM.
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu
perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin.
Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta
murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara,
tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta
antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan
sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih
patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah).
Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia.
KALAU BEGITU, CINTA REMAJA SEMUA MENGHAMPIRI KEPADA PENZINAAN?
Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu
tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan.
Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk
berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian
berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani
pegang tangan, duduk makin dekat.
Kalau tadi macam kawan, sekarang
macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan
penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah
penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang
melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada
seekor nyamuk sekalipun!
MASIH RAMAI ORANG YANG BERCINTA TETAPI TETAP SELAMAT TIDAK SAMPAI BERZINA. KAMI TAHAN DIUJI.
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu
kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh
itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut
manusia akan kecundang.
JADI MANUSIA ITU TIDAK TAHAN DIUJI?
Kita manusia dari keturunan Adam dan
Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu
peristiwa untuk iktibar manusia.Allah tegah Adam dan Hawa supaya
tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan.
Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu
Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok
khuldi itu.
Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan
isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya
sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri
pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang
zalim (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah
khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan
memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah
penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan
zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar
daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.
TETAPI CINTA SELEPAS KAHWIN
BANYAK MASALAH. KITA TAK KENAL PASANGAN KITA SECARA DEKAT. BERCINTA
ADALAH UNTUK MENGENAL HATI BUDI PASANGAN SEBELUM BUAT KEPUTUSAN
KAHWIN.
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa
sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan
kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik.
Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta
merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan
ada yang pujuk.
Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan
keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh
berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat
penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai
berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai.
Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit.
Kalau mahu mengetahui peribadi pasangan,
itulah sebabnya Islam ada membuat pertunangan. Tetapi
pertunangan juga ada batasan yang sama seperti sebelum kahwin.
Syarat-syarat semasa dalam pertunangan juga sama ketika sebelum
berkahwin. Hanya perkahwinan sahaja yang menghalalkan perkara-perkara
yang haram antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.
Jika mahu
mengenali hati budi pasangan, adalah dicadangkan supaya
pasangan tunang itu bertemu sahaja di rumah pasangan masing-masing
bersama-sama dengan keluarga masing-masing. Bukankah itu lebih
baik? Keluarga dari kedua-dua belah pihak boleh mengenali sesama sendiri
dengan lebih dekat lagi.
PERCAYALAH, KAMI BERCINTA DEMI MERANCANG KEBAHAGIAAN HIDUP NANTI.
Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak
mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah
kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan
manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang
menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika
jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah.
Kebahagiaan
hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah
tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan
ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin.
Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula
sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?
TANYA SIKIT, ADIK ANGKAT, KAKAK ANGKAT, ABANG ANGKAT BOLEH KE?
Semua itu adalah perangkap iblis dan
syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru.
Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat,
kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan
syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah
masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk
dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator
ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.
JADI SEOLAH-OLAH ORANG YANG BERCINTA TELAH HILANG MARUAH DIRI?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan
oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang
mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak
menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri,
tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang
yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan
kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu
ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.
ADAKAH ORANG YANG BERCINTA HILANG MARUAH?
Antara kemulian manusia adalah maruah
dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba
menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan.
Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak
layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah
berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin
melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan
perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengan
melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.
Dan perkahwinan
yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (Surah
An-Nur: 3) Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai
untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu
suatu penghinaan dari Tuhan.
JADI ORANG YANG BERCINTA HANYA LAYAK BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG PERNAH BERCINTA JUGA?
Itulah pasangan yang layak untuk
dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki
yang baik untuk wanita yang baik.
KAMI TELAH BERJANJI SEHIDUP SEMATI!
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak
sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji
lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu,
sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang
sehingga menjadi pepatah.
SI DIA INI LAIN DARI YANG LAIN. DIA LELAKI YANG PENYAYANG DAN BERTANGGUNGJAWAB.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana
lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri
dan seterusnya menjadi ibu untuk anak- anaknya, dia akan memilih
wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki
biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang
menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.
JADI, PEREMPUAN YANG BERCINTA, JATUH MARUAHNYA PADA PANDANGAN LELAKI?
(tidak mengikut syariat)
(tidak mengikut syariat)
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal
suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih
ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang
diletakkan di bilik pameran sahaja.Tapi ada orang yang boleh test
drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan
segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah
hakikatnya.
MASIH ADAKAH ORANG YANG TIDAK BERCINTA DI ZAMAN INI?
Ya, masih ada orang suci dalam debu.
Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil.
Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya.
Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya
serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang
memelihara dirinya dari melakukan zina)… Allah telah menyediakan
bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah
Al-Ahzab: 35)
BAGAIMANA KAMI?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah
dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan
dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.
KAMI INGIN MENDAPAT REDHA TUHAN. TUNJUKKANLAH BAGAIMANA TAUBAT NASUHA.
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-
benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat: Tinggalkan
perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai
Allah ini. Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk
hidup yang menjurus diri dalam percintaan. Berazam. Bertekad
di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan
seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab
kabul. Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum berkahwin, semakin
hambar & kurang rasa cinta setelah menjadi suami isteri.
Ya Allah. Hambamu ini telah
tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau
Maha Pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku
untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku
perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia.
Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil
dengan kasih sayang. Mengapaku curahkan kasih itu kepada orang lain.
Oh Tuhan, hambamu ini berdosa. Amin, yarabbal alamin. Moga Allah terima taubatmu.
KITA BERPISAH KERANA ALLAH, KALAU ADA JODOH, TIDAK KE MANA!
No comments:
Post a Comment