Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di
muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang
seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa
telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti ape yang
diharapkan?
Sahabat,sedarlah bahawa usaha itu adalah satu kemestian yang
dilakukan oleh setiap hamba Allah dimuka bumi kerana kita harus
merancang akan tetapi Allah yang menentukan segalanya. Berapa
ramai insan yang kecundang selepas usaha yang dilakukan
tidak seperti apa yang dijangkakan?Bahkan ada yang memaling pada
mentaati perintah Allah setelah kecewa dengan pengakhiran suatu
usaha itu.
Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui
setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik
untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya
kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya
pada qadha dan qadar. Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak
percaya pada rukun iman keenam.
Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat
hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai
penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat
pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari
jodoh yang baik.
Sahabat,berusahalah untuk mencari cinta sejati dengan sentiasa
berusaha dan berdoa kepadaNya. Jangan pernah putus asa dalam
usaha. Ujian Allah dalam meniti suatu perjalanan mencari cinta
sangatlah berat kerana Allah inginkan hamba-hambaNya meminta-minta
padaNya. Bersabarlah atas setiap ujian yang kita hadapi dengan tabah dan
redha dengan ketentuanNya.
Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan,
percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah
dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau
baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan
tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di
mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita
menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang
indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa
mendatang.
Demikianlah pilihan Allah... ianya adalah baik untuk kita, agama
kita, dan baik untuk setiap keadaan dan waktu yang ada. Pengetahuan
Allah mengatasi pengetahuan hamba-hambaNya, maka serahkan urusan jodoh
itu pada Allah. Jangan dipeningkan kotak fikir kita memikirkan siapa
jodoh kita. Jika ada jodoh, pasti tidak akan ke mana. Yang penting
siapkan diri kita agar menjadi soleh dan solehah. Siapa jodoh kita
adalah ditentukan oleh diri kita sendiri. Jika kita soleh, insyaAllah
Dia akan temukan kita dengan yang solehah. Jika kita solehah, maka Allah
akan temukan dengan yang soleh. Bukankah Allah telah berfirman, Lelaki
yang baik itu untuk wanita yang baik. Maka Yakinlah! Janji Allah
itu pasti benar.
Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian
yang ada tetapi jadikan lah ujian itu sebagai satu kekuatan pada
kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai
suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya
diredhai oleh Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu
mengundang murka Allah.
Tepuk dada tanya fikiran kerana apa kita cintakan seseorang itu.
Adakah kerana hartanya? kerana paras rupanya? atau kerana agamanya?
Pujilah kaum hawa itu atas kecantikannya tetapi pujilah dengan niat
semata-mata pujian atas keindahan ciptaan Allah. Pujian yang
bersandarkan kebesaran dan keagungan yang menciptakannya. Dan janganlah
memuji sehingga mengundang syirik padaNya.
InsyaAllah para sahabat yang membaca artikel ini akan saya doakan
juga supaya anda dipertemukan jodoh yang baik yang mampu
membahagiakan anda bukan sahaja di dunia bahkan di syurga kelak. Amin
( Mohd Rezykin bin Md Shariff merupakan penuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.)
No comments:
Post a Comment