Pesanan terakhir Rasulullah SAW (Isi khutbah terakhir Rasulullah SAW)
Ketika
Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun
10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah
terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir
Rasulullah itu ialah:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang
hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari
ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan
ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim
sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan
mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya
dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak
atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan
dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah
teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama
sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu
dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan
tunaikanlah zakat
dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu
mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.
Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya
kecuali dalam Taqwa
dan beramal soleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada
suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu
kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan
datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada
kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu
berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami
kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah,
bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
No comments:
Post a Comment