Perempuan manalah yang tak suka shopping kan? Tapi,
kami juga pasti bahawa ramai kaum wanita yang memang suka membaca.
Tak kisahlah baca novel ke, baca buku motivasi ke?
Namun, tabiat membaca itu mungkin juga lupus dek kerana arus teknologi sekarang
kan?
Jujurnya, admin pun rindu saat menghabiskan
berjam-jam lamanya di ruang tamu untuk menghabiskan pembacaan sebuah buku.
Sekarang susah betul nak cari masa macam tu.
CINTAILAH PEREMPUAN YANG
MEMBACA
(Oleh: Rosemarie Urquico. Terjemahan: Izmil Amri)
Cintailah perempuan yang membaca. Perempuan yang
berhabis duit untuk buku dan bukan baju. Dia punya masalah dengan ruang lemari
baju, kerana dia punya terlalu banyak buku. Cintailah perempuan yang punya
senarai buku-untuk-dibaca, perempuan yang punya kad perpustakaan sejak dia
dua-belas tahun usia.
Carilah perempuan yang membaca. Dialah perempuan
yang sentiasa menyimpan buku yang belum dibaca dalam tas tangannya. Dialah yang
meninjau-ninjau di dalam kedai buku dengan penuh rasa kasih sayang. Yang
menjerit kecil apabila ketemu buku yang dicari. Kau lihat gadis aneh yang
mencium bau halaman buku lama di kedai buku terpakai itu? Itulah dia perempuan
yang membaca. Dia tidak akan dapat tahan nafsu untuk menghidu halaman buku
lama, terutamanya yang sudah mulai kuning.
Dialah perempuan yang membaca sambil menunggu di
kedai kopi hujung jalan sana. Kalau kau lihat cawan kopinya, krimer bukan
tenusu maseh lagi terapung di atas, dia sudah pun keasyikan. Hilang tenggelam
dalam dunia bikinan si penulis. Duduklah di sebelahnya. Dia mungkin akan
menjeling, kerana perempuan yang membaca tidak suka diganggu ketika membaca.
Tanyalah jika dia suka buku yang dibacanya itu.
Belikan dia secawan kopi lagi.
Katakan pada dia apa yang kau fikir tentang
Murakami. Lihat sama ada dia sudah melepasi bab pertama Fellowship. Fahami
bahawa jika dia katakan yang dia faham Ulyssesnya si James Joyce, itu hanyalah
kerana mahu kelihatan cerdik. Tanyakan kalau-kalau dia suka Alice, atau jika
dia mahu menjadi Alice.
Alangkah
senang bercinta dengan perempuan yang membaca…
Alangkah senang bercinta dengan perempuan yang
membaca. Hadiahkan dia buku pada hari jadinya, pada Hari Natal dan pada setiap
ulangtahun. Hadiahkan padanya hadiah kata-kata, dalam puisi, dalam lagu.
Berikan dia Neruda, Pound, Sexton, Cummings. Biar dia mengerti bahawa kau
memahami yang kata-kata itu adalah cinta. Fahamilah yang dia sememangnya tahu
beza antara dunia buku dan realiti, walau dia bersungguh juga mahu bikin
hidupnya seakan buku yang paling dia suka. Bukan salah kau kalaupun di mencuba
begitu.
Apa cara pun, dia mesti akan perlu mencuba
juga. Berbohonglah padanya. Jika dia memahami sintaks, dia akan faham
keperluan kau untuk berbohong. Di balik kata-kata ada perkara-perkara lain:
motivasi, nilai, nuansa, dialog. Tidak akan kiamat lagi dunia, kalau kau bohong
padanya.
Kecewakan dia dengan kegagalan. Kerana perempuan
yang membaca tahu bahawa kegagalan selalunya membawa kepada klimaks jalan
cerita. Kerana perempuan yang membaca faham bahawa tidak semua perkara berakhir
begitu sahaja. Masih boleh ditulis sekuelnya. Masih boleh mula semula, lagi dan
lagi, dan masih boleh jadi hero. Dia faham bahawa dalam hidup, mesti ada satu
dua watak jahat. Kenapa takutkan segala yang bukan kau? Perempuan yang
membaca memahami bahawa manusia, sama juga seperti watak dalam buku,
berkembang. Kecuali dalam siri Twilight.
Kalau kau
ketemu perempuan yang membaca...
Kalau kau ketemu perempuan yang membaca, janganlah
dibiar pergi jauh. Bila kau ketemu dia di tengah malam jam dua pagi sedang memeluk
buku ke dadanya dan menangis, buatkanlah dia secawan teh dan peluk dia
rapat-rapat. Kau mungkin kehilangan dia untuk seketika, tetapi dia tetap akan
kembali pada kau. Dia akan berbicara seolah watak di dalam buku itu hidup,
kerana untuk satu ketika, watak-watak itu benar-benar hidup.
Kau akan melamarnya di atas belon udara panas. Atau ketika konsert rock. Atau secara bersahaja bila dia jatuh sakit. Atau melalui Skype.
Kau akan tersenyum sampai telinga dan
tertanya-tanya kenapa jantung kau masih belum meletup keluar dari rongga dada.
Kau akan menulis kisah hidup kau berdua, punya anak-anak dengan nama
pelik-pelik dan selera yang bukan-bukan. Dia akan perkenalkan anak kau kepada
Cat in the Hat dan Aslan, barangkali pada hari yang sama. Kau akan berjalan di
musim salji bersamanya bila sudah berusia nanti, dan dia akan bacakan Keats
dengan nada lembut sambil kau ketis salji dari kasut.
Cintailah perempuan yang membaca kerana kau berhak.
Kau berhak untuk dapat seorang perempuan yang boleh memberi kau kehidupan penuh
warna. Kalau kau hanya sugul, membosankan dan tidak serius, adalah lebih baik
kau bersendirian. Kalau kau mahukan dunia, dan dunia-dunia di sebaliknya,
cintailah perempuan yang membaca.
Atau lebih baik, cintailah perempuan yang menulis.
p/s: Aku dah lupa dari mana asalnya artikel ni...
No comments:
Post a Comment