Sunday 15 September 2013

ABAH: SETELAH SETAHUN BERLALU

Hari ini 15 September 2013. 15 September 2013 tidak sama dengan 15 September 2011. Juga tidak sama dengan 15 September tahun-tahun sebelumnya. Hanya satu sebabnya. Tarikh yang sama pada 15 September 2012 (28 Syawal 1433H), sang Pencita alam ini telah mengambil abah dari  pangkuan kami. Abah dijemput pergi dalam keadaan yang sangat tenang.

Perginya lena dalam tidur. 
Perginya memberikan kejutan yang teramat sangat buat kami semua. 
Perginya abah tanpa sempat mewalikan aku.
Perginya abah tanpa melihat lebih banyak buku aku diterbitkan. 
Perginya abah meninggalkan kami terkapai-kapai.

Abah. Membanting tulang demi membesarkan kami empat beradik. Sanggup melakukan pelbagai perkerjaan untuk mendapatkan pendapatan lebih untuk kami sekeluarga. Kerja kebun, kerja paip, potong rumput. Apa sahaja abah lakukan untuk kami. Tapi aku hanya tahu meminta tanpa tahu aku, abah sendiri kesempitan duit. Bila aku dah berkerja, dah merasa pegang duit sendiri, baharu aku tahu betapa susahnya aku waktu itu.

Segala yang berlaku terasa bagaikan mimpi. aku berharap sangat yang itu cuma mimpi dan bukan sebuah realiti. Hakikatnya adalah realiti. Abah pergi juga dengan tiba-tiba. Setiap hari aku teringatkan abah. Mungkin aku boleh ketawa, bersuka ria, menonton wayang, mungkin juga pergi bercuti dengan keluarga yang lain, sibuk menulis novel....tetapi sebenarnya aku senantiasa teringatkan abah. 

Tak ada lagi tangan yang hengak aku cium setiap kali pergi kerja. Tidak ada lagi abah yang selalu balutkan novel-novel yang beli. Tak ada lagi abah yang suka nyanyi lagu P.Ramlee. (lepas abah tak ada aku memang tak suka tengok cerita P.Ramlee dan Tanah Kubur sebab dua-duanya mengingatkan aku pada abah. Tidak ada lagi nasi goreng yang selalu abah buat. Abah memang suka tengok cerita ni). Tak ada abah yang hantar dan ambil aku dari tempat kerja. Tiada lagi abah dalam hidup aku. Perginya untuk selama-lamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi.  Abah yang tidak akan ada penggantinya bagi aku. Abah yang terhebat pernah aku miliki selama 27 tahun.

Semoga abah tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga abah terlepas daripada seksaan azab kubur dan api neraka. Semoga Jannah tempat abah nanti...amin ya rabbal alamin. Alang sayang abah! :(

No comments: