Dia
baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor.
Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup
.
Pada
suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan
sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang
hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik.
Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.
Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.
“Astaghfirullah,”
bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis
sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.
Subhanallah, indah
sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup,
berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis
ini sebagai isterinya.
Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, “Kau kenal ke gadis itu?”
“Kenal.
Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi,” jawab
rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor
muda ini!
Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,
“Berikan saya kopi masin!”
Semua
orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya,
pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia
tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus
meminumnya.
Kehairanan, rakannya bertanya “Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?”
“Saat
aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka
bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut…
masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini,” jawab lelaki ini.
Tanpa
disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka mendengar
kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang
sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki
yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.
Dia pasti
lelaki itu adalah seorang yang menyintai dan mengambil berat akan rumah
dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat
tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang
yang sangat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi
isterinya.
Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta
rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah
mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di
kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat
pengajian di sekolah tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman
hidupnya dengan hati terbuka.
Seperti kisah cinta yang indah,
Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka
hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak
mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik
setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka
kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan
secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di
dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.
Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.
“Sayangku,
sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur
terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan
yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya
kebohongan abang kepadamu – tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat
kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan
Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya
abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin.
Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di
hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah
menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba
untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba
beberapa kali sepanjang hidup abang…tetapi abang tak sanggup melukakan
hatimu..
Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang
sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang
akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi
sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan
sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan
terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani
kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan
menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin
sekali lagi.“
Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.
Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, “Bagaimana rasa kopi yang masin?”
Dia dengan pastinya menjawab, “Rasanya manis sekali.”
Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment