Tuesday 16 September 2014

ABAH, BEREHATLAH...

Al Quran ku aku tutup. Aku letakkan disisi katil, bersebelah dengan satu susuk tubuh yang paling aku sayang – abah.

Aku renung wajah abah yang sedang tidur, dengan saluran bantuan pernafasan berselirat di dada abah. Hembusan nafas abah kuat, lebih dari hari-hari biasa. Aku jadi risau, Aku cuba memandang sekeliling meraih simpati jururawat atau doktor yang lalu lalang namun mereka hanya memandang, dan berlalu. Mungkin sudah biasa bagi mereka keadaan seperti ini.

Aku menghembus nafas perlahan. Pandangan aku masih pada wajah abah. Perlahan-lahan aku letakkan tapak tangan di dahi abah. Panas. Ku capai tuala basah yang sedia ada di kepala katil lalu aku lapkan dahi dan wajahnya dengan lembut. Inilah wajah tua yang penat membesarkan aku selama 23 tahun. Meskipun sudah terlantar hampir dua minggu, wajah abah masih segar. Tiada sebarang kesan atau bekas yang menunjukkan abah sedang sakit. sepertinya abah sedang tidur, tanpa diganggu oleh sesiapa. Seperti mana abah tidur dirumah. Cumanya, sudah beberapa hari abah tak bangun-bangun.

Rindu.

Rindu dengan suara garau yang sering sahaja menjadi deringan yang mengejutkan tidurku, suara yang sering menyahut panggilan telefonku, dan suara yang sering menegurku tika aku khilaf.
Aku mengalih pandangan pada meter oksigen yang bersambung dengan alat bantuan pernafasan abah. Tidak seperti hari lain, hari ini lebih kadarnya. Aku makin risau. Mata sudah mahu berkaca.

Aku tahan. Aku tak nak menangis disisi abah dalam ketika dia memerlukan kekuatan daripada anak-anaknya. Butir kaca tidak jadi berderai. ‘Ya Allah sesungguhnya kau sedang menguji abahku, dan kami sekeluarga, aku redha Ya Allah’ rintih aku dalam diam. Aku terus berada disisi abah. Sesekali aku lapkan badan abah. . Kesian abah demam. Usai itu aku kembali mencapai Quran; aku bacakan untuk kesekian kali.


Datang seorang jururawat mahu beri abah susu melalui tiub. Dia cuba pasang alat yang mengesan nadi abah, tapi tak berfungsi. Dia mula memanggil rakan yang lain, memasang mesin mengesan nadi dan degupan jantung. Langsir katil abah ditutup; beberapa doktor mula masuk beserta jururawat. Aku kian cemas tapi hanya mampu menunggu penuh sabar. Seketika itu, dua orang doktor keluar daripada sisi katil abah, menuju ke kaunter ditengah-tengah wad. Kemudian kembali kepada kami. Memanggil aku beserta ahli keluarga yang lain. Doktor maklumkan, jantung abah sudah tidak berfungsi, oksigen dalam darah juga sudah kurang. Doktor sahkan abah sudah pergi jam 3.45 petang.

Secepat itu dia pergi…

Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan aku ketika itu. Insan yang paling aku sayang dunia akhirat, sudah pergi meninggalkan aku. “Ya Allah, aku redha dengan ujian Mu..”

Aku melangkah perlahan masuk melepasi langsir yang menutupi katil abah. Tangan aku hulur, aku capai kaki abah, aku urut perlahan-lahan. Seluruh tubuh abah aku sentuh. Aku lihat wajah abah. Tenangnya abah tidur. Ya Allah kuatkanlah aku..

Tika semua mula beredar daripada katil abah. Tinggal aku bersendirian dengan abah. Aku kucup dahi abah semahu-mahunya, aku cium badan abah, aku cium tangan abah. Seboleh-bolehnya aku mahu cium semua anggota badan abah. Inilah abah yang membesarkan aku. Inilah abah yang aku sayang dunia akhirat.

Aku tahan air mata daripada mengalir. Aku berkata dalam hati,”mesti abah ada dekat sekeliling ni kan, abah tengok la kita tak nangis, kita kuat, kita kan anak abah yang kuat” rintih aku dalam hati. Namun, hati ini terlalu rapuh. Akhirnya berkaca juga. Aku tahan dan tidak tertumpah disisi abah.
Aku turut serta dalam urusan memandikan dan mengafankan abah. Tika memandikan  abah, terasa tidak puas rasanya aku lapkan badan abah. Setiap genap aku gosok supaya abah bersih dan wangi. Dengan perlahan aku jiruskan air pada badan abah. Aku pakaikan abah dengan kain putih serta wangi-wangian. Wangi sungguh abah ku. Aku cium dahinya. Terasa tidak mahu ku lepaskan ciuman itu.

Aku mengiringi abah dalam van jenazah untuk pulang ke rumah. “Abah, sekarang kita nak balik rumah ni, nak jumpa mak dengan semua, abah mesti tak sabarkan nak balik rumah, dah sebelas hari abah tak balik rumah, semua orang rindu abah”, aku ucap perlahan disisi abah.

Sampai dirumah, ramai yang sudah menunggu. Abah dibaringkan disudut ruang rumah. Ramai orang mengelilinya. Ketika solat jenazah, aku sembahyang dihadapan sekali, sambil mata aku pandang tepat pada bahagian wajah abah. Selepas doa dibacakan aku terus cium wajah abah. Air mataku mengalir. Aku seka perlahan. Kemudian, untuk terakhir kali wajah abah dibuka, aku memandang penuh sayu. Itulah untuk terakhir kali aku melihat wajah abah. Wajah kesayangan aku dunia akhirat.

Dialah tempat aku mengisi lompangnya hidup sebagai anak. Dialah pelindung yang membesarkan aku menjadi dewasa. Dialah pemberi semangat saat jiwa aku gelora. Ya Allah, kau ampunkanlah dosa abah, kau tempatkanlah abah dalam kalangan yang beriman, dalam kalangan mereka yang kau beri rahmat, kau peliharalah abah sebagaimana abah memelihara aku sejak daripada kecil lagi. Amin Ya Rabbal Alamin..

Abah, berehatlah.. Kami menyusul abah nanti.. Aku sayang abah..

# Cerpen atau rencana ini aku ambil dari laman sesawang ILuvIslam.com. Aku tak baca pun sebab aku 'tak mampu' untuk menatap bait-bait ayat yang berkemungkinan ada persamaan dengan apa yang pernah aku alami. Jadi biarlah aku postkan sahaja di sini.

No comments: