Sunday 29 December 2013

RENUNGAN DAN TENUNGAN YANG PANJANG


Diam tak diam kita semakin menghampiri penghujung 2013 dan 2014 akan menemani kita pula. Jika direnung dan ditenungkan sepanjang tahun ni ada beberapa pencapaian positif bagi aku. Dua buah cerpen aku berjaya disiarkan di dalam majalah Harmoni. Manusksrip novel remaja aku yang kedua juga telah selesai menjalani proses 'proofread'. Sekarang tengah 'deal' dengan ilustrator untuk gambar-gambar yang aku kehendaki.

Bulan ini juga aku kerap menonton filem di pawagam berbanding bulan-bulan sebelum ini. Oh, ya! Bulan sebelum puasa hari itu juga aku banyak menonton filem. Mungkin juga bergantung kepada filem-filem itu kot. Masa Chinese New Year hari itu aku dan famili ke I-city, Shah Alam. Puaslah bergambar dari satu frame ke frame yang lain dalam Trick Art Museum tu.

Lepas itu pergi ke Eagle Ranch Resort dengan famili. Tak lupa aktiviti aku bersama tiga orang budak praktikal menjelajah 'Canopy Walk' di FRIM pada 20 Oktober yang lalu.

Tapi di sisi lainnya aku terasa kehilangan. Kehilangan yang adakalanya membuatkan aku tejerembap ke tanah. Abah! Abah! Abah! Aku rindukan abah. Setahun berlalu namun seolah-olah semalam pemergiannya aku rasai. Tidak ada hari yang aku tak ingatkan abah. Moga abah tenang di sana. Dan sehingga ke hari ini aku rasa langkahku longlai dan goyah untuk jejakkan kaki ke kubur abah. Aku tak kuat! Daripada aku duduk  dan menangis dengan air mata yang tak akan berhenti mengalir seperti meratap pula, lebih baik aku panjatkan doa buat abah dari jauh sahaja. Jauh di mata dekat di hati dan sanubari.

Pertama kali juga pada tahun ini sambutan ulang tahun kelahiran aku tanpa abah di sisi. Aku seronok membuat persiapan, beli hadiah untuk buat game show dengan anak-anak buah aku tapi dikala sendirian kehilangan abah sangat aku rasai.


Juga pertama kali beraya tanpa abah rasanya terlalu kosong dan sepi. Tiada lagi tangan seorang lelaki yang aku salam seperti tahun sebelumnya. Raya kali ini terasa sangat hambarnya buat diri aku. Tak ada gambar raya aku pun tahun ni. Tidak seperti tahun-tahun yang lain dimana kami adik-beradik sibuk mengambil kenangan di pagi raya.

Dalam kedukaan ada kegembiraan
Dalam pahit ada manisnya
Dalam derita ada bahagia
Dalam kesunyian ada keriangan

No comments: