Sunday 18 August 2013

ARTIKEL AGAMA & QOUTES: CINTA SELEPAS KAHWIN & CINTA BEDA USIA


Cinta Selepas Kahwin.. Bagaimana?

Tahukah anda, Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang.

Bagaimana tu? Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum ini:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.
Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat.
Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.
Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:
1. Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina.
Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.
2. Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain.
Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.
3. Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin.

Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.
SUMBER DARIPADA INTERNET


Hari ini PakarCinta ingin berkongsikan persoalan yang sering bermain difikiran individu yang mengalami cinta yang berbeza usia. Persoalan ini telah dijawab oleh Suzana Ghazali, seorang Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie dan diterbitkan dalam akhbar Kosmo!.
1) Kini sudah menjadi trend lelaki berusia berkahwin dengan pasangan muda dan wanita berusia berkahwin dengan lelaki muda. Adakah trend seperti ini boleh menjamin kebahagiaan yang berkekalan atau sebaliknya?
Jawapan beliau:
Wujudnya trend baru ni mungkin disebabkan fobia dengan kes-kes rumahtangga yang berantakan bila perkahwinan libatkan pasangan seusia. Hakikatnya, bukan umur penentu kebahagiaan. Sebaya atau lebih tua atau lebih muda tak penting.
Yang penting ialah mempunyai pengetahuan dalam ilmu-ilmu perkahwinan, rumahtangga, suami isteri dan berusaha untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari. Kalau masing-masing sedar, faham dan berusaha menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya, perkahwinan akan bahagia walaupun mempunyai umur yang berbeza.
2) Boleh puan berikan beberapa tips bagaimana hubungan sebegini dapat diteruskan dengan jayanya?
Jawapan beliau:
Tips utama; jalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Suami ada tanggungjawab yang menjadi hak isteri. Isteri pula mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak suami. Bila setiap individu jalankan peranan dan tanggungjawab yang perlu, keserasian akan wujud dan kebahagiaan akan dicapai.
Tips kedua; sedar siapa anda? Maksudnya, kalau anda suami, bersikap dan berperananlah sebagai suami walaupun usia anda lebih muda. Kalau anda sebagai isteri, bersikap dan berperananlah sebagai isteri walaupun anda lebih tua daripada suami.
Tips ketiga; simpan kemas dalam minda, pasangan anda adalah isteri atau suami anda, bukan adik atau abang atau kakak atau anak. Bermaksud, anda perlu layan pasangan anda selayaknya sebagai pasangan. Berkongsi suka, duka, masalah, cerita dan lain-lain. Anda boleh berkawan dengan pasangan tetapi tak boleh jadikan pasangan anda sebagai saudara atau anak anda.
Tips keempat; terima kelebihan dan kelemahan pasangan. Jika pasangan anda lebih muda atau lebih tua, selalunya tabiat dan minat berbeza. Anda perlu terima perbezaan tersebut sebagai kelebihan atau kelemahan yang tersendiri. Kecuali tabiat dan minat yang negatif, berusahalah untuk mengubahnya secara perlahan-lahan. Jangan bandingkan diri anda dan dia untuk mencari perbezaan sebaliknya usahakan untuk mencari keserasian dalam minat yang berbeza tersebut. Kebahagiaan bukan terletak pada persamaan tetapi keserasian.
Tips kelima; jangan jadikan umur sebagai alasan walau dalam apa juga perkara. Mungkin pasangan anda terlupa dan lupa itu tak boleh dikaitkan dengan usianya yang lebih tua atau menyindir usianya yang muda tetapi mudah lupa. Usia cuma angka yang tak berikan apa-apa manfaat dalam hubungan anda. Biar usia muda tetapi jika bertindak matang, itu lebih baik daripada usia tua tetapi bersikap sebaliknya.
3) Apa kriteria yang perlu ada dalam diri mereka yang terlibat dalam hubungan cinta sebegini?
Jawapan beliau:
Kriteria paling penting ialah ikhlas. Perlu ikhlas tika menerimanya sebagai pasangan, bukan terima sebab rupa atau harta atau lain-lain. Ikhlas terima dia seadanya, terima kelebihan dan kelemahannya juga. Perlu juga bersikap sabar. Beza usia memungkinkan pelbagai perbezaan lain yang berkaitan. Maka, sabar penting bagi memastikan setiap perbezaan yang wujud dapat diatasi sebaiknya.
Perlu juga bersikap sentiasa bersemangat untuk terus belajar sebab anda perlu lebih banyak belajar untuk mengenali pasangan anda dan tidak boleh mudah putus asa. Anda tak perlu jadikan pasangan anda seperti anda tetapi anda boleh sebatikan diri anda bersamanya agar lebih mudah untuk berkomunikasi.
Tak boleh cepat melenting atau marah walaupun anda lebih berusia. Berapa pun usia anda, anda tetap seorang suami atau isteri yang perlu berbincang dan mencari jalan keluar bagi setiap masalah yang berlaku. Jangan mencari siapa yang salah sebaliknya carilah kesilapan dan kesalahan kemudian usahakan jalan penyelesaian bersama-sama.
Paling utama; sentiasa berdoa agar kasih sayang pasangan kekal di hati dan hubungan diberkati.

No comments: